Kedah dijangka bubar DUN selepas 18 Jun
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memberi bayangan, dewan undangan negeri (DUN) akan dibubarkan selepas pertengahan Jun depan bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan.
Muhammad Sanusi berkata beberapa faktor termasuk ketibaan Ramadan, sambutan Aidilfitri, tempoh musim haji serta sambutan Aidiladha menyebabkan kerajaan negeri berpandangan DUN Kedah tidak sesuai dibubarkan ketika ini.
"Seperti saya pernah sebut, bulan tiga (Mac) dengan bulan empat (April) puasa dan raya… lepas tu orang pergi haji (kena) tunggu orang balik (dari) haji, (dan) yang penting di Kedah ini pada 18 Jun ada (sambutan) keputeraan Tuanku Sultan Kedah, lepas itu baru boleh buat apa yang patut," katanya.
Dia berkata demikan ketika ditanya pemberita mengenai jangkaan tarikh pembubaran DUN Kedah bagi membolehkan PRN diadakan.
Terdahulu Muhammad Sanusi menghadiri sambutan Tahun Baru Cina peringkat Kedah di Alor Setar malam tadi.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata PAS membuat keputusan untuk menentukan sendiri tarikh pembubaran DUN di tiga negeri yang ditadbir mereka iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu tanpa melibatkan perbincangan dengan tiga negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata dia berharap negeri-negeri ditadbir PH dapat membubarkan DUN masing-masing bersama tiga negeri PAS supaya PRN serentak dapat diadakan.
"Perbincangan secara tidak rasmi dengan negeri lain ada, macam saya tanya Menteri Besar Negeri Sembilan (Aminuddin Harun), bukan dia sengaja nak bubar DUN pada Mei tetapi 1 Jun DUN terbubar sendiri.
"Jadi mahu tidak mahu dia kena bubar pada bulan Mei atau selewat-lewatnya 31 Mei.
"Jadi kalau nak disekalikan PRN kena buat dalam tempoh 60 hari, jadi negeri-negeri lain dalam tempoh itulah antara 1 Jun hingga 31 Julai. Secara tak rasminya macam itulah," katanya.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/5454c7abbf36f7aa4bebba9b82584b5e.jpg)
