Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khalid: Tak ada tanda kebangkitan Islam lepas PAS menang di Kelantan

Amanah Kelantan berpendapat kemenangan besar PAS di negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) baru-baru ini tidak memberi sebarang petanda yang jelas dari segi perkembangan Islam.

Pengerusi Amanah Kelantan Khalid Samad mendakwa di sebalik pencapaian ditunjukkan PAS pada 19 Nov tahun lalu gagal membawa perubahan kepada negeri terbabit.

Sebaliknya kata Khalid, Amanah Kelantan menganggap kemenangan PAS itu hanya disebabkan mainan sentimen dibawa parti berkenaan, bukan kerana perjuangan Islam seperti didakwa mereka.

Malah katanya selepas PAS memenangi semua 14 kerusi parlimen di Kelantan, tidak ada pun tanda-tanda yang memperlihatkan kebangitkan Islam.

"Kita nampak 'gelombang hijau' itu berdasarkan sentimen, dan bukan merupakan kebangkitan Islam sepeti mana yang didakwa PAS.

"Kalau kita pergi ke masjid-masjid, tak adalah melimpah-limpah orang (yang datang bersembahyang) sejak selepas PRU ke-15.

"Waktu solat Subuh masih dua tiga saf, tidak ada lebih ramai pemuda-pemuda naik semangat nak memeperjuangkan Islam seperti mana yang didakwa," katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Supaya rakyat dapat manfaat

Sebagai rekod PAS mula mentadbir Kelantan sejak 1990 dan berjaya mempertahankan pentadbiran negeri itu sehingga kini.

Bersama Bersatu dan Gerakan, PAS menyertai PRU ke-15 pada Nov tahun lalu sebagai komponen Perikatan Nasional (PN).

Semua calon PN bertanding menggunakan lambang 'bulan' PAS di Kelantan dan Terengganu, manakala di negeri lain mereka menggunakan simbol PN.

Selain mengekalkan Kelantan dan Terengganu, PN turut menguasai Kedah dan Perlis. Ia didakwa kesan kemunculan 'gelombang' dalam kalangan pengundi Melayu.

Menurut Khalid, dia yakin kemunculan 'gelombang hijau' yang didakwa PN itu muncul berasaskan maklumat yang tidak tepat disebarkan gabungan terbabit.

"Oleh kerana itu dengan tempoh masa beberapa bulan yang ada kita (Amanah) akan cuba menentukan pilihan raya negeri (PRN) di Kelantan tidak diwarnakan dengan 'gelombang hijau' itu lagi.

Sementara itu mengulas tawaran Amanah Kelantan pada PRN akan datang, Khalid berkata, pihaknya sedia menawarkan pentadbiran yang baik dengan pendekatan rahmah selari dengan dasar Pakatan Harapan (PH) di peringkat persekutuan.

"Bagi PH dan Amanah pendekatan kami dalam PRN akan datang ialah nak tawar pentadbiran yang baik, pendekatan rahmah, selari dengan pendekatan PH.

"Kita nak fahamkan rakyat Kelantan bahawa pilihan raya ini bukan soal nak pilih agama, bukan soal nak pilih Islam atau bukan Islam.

"Kedudukan Islam itu sudah mantap di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Dalam pilihan raya pula, kata Khalid, ia melibatkan pihak yang menawarkan dasar dan pentadbiran yang terbaik untuk rakyat.

"Siapa antara mereka yang bertanding itu akan dapat menghasilkan kerajaan yang mentadbir Kelantan dengan sebaik mungkin supaya rakyat mendapat manfaat dan mencapai kemakmuran seperti digariskan Islam," jelasnya yang juga pengarah komunikasi Amanah.

Lihat Komen
ADS