Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Motac nafi ada monopoli tiket umrah, keutamaan pada jemaah Indonesia
Diterbitkan:  Feb 2, 2023 5:23 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menafikan dakwaan wujudnya monopoli beberapa syarikat tertentu terhadap tiket penerbangan syarikat penerbangan tempatan untuk ke Makkah.

Motac turut menafikan dakwaan jemaah warga Indonesia diberi kelebihan untuk mendapatkan tiket tersebut.

"Motac memandang serius terhadap kenyataan tersebut kerana situasi ini dikatakan menjadi antara punca berlakunya kesukaran untuk mendapatkan tiket penerbangan yang secara tidak langsung menaikkan lagi kos pakej umrah sejak akhir-akhir ini.

"Dakwaan yang menyatakan bahawa wujudnya monopoli kepada beberapa syarikat tertentu dan kelebihan diberikan kepada jemaah Indonesia adalah tidak benar sama sekali," kata Unit Komunikasi Korporat kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beberapa syarikat umrah tempatan dilaporkan memborong tiket penerbangan ke Makkah dan turut menjualnya kepada agensi umrah di Indonesia pada harga sehingga RM6,000 untuk mengaut keuntungan besar.

susulan dakwaan itu, Motac berkata satu mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar telah diadakan dengan Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pengangkutan serta Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) pada Selasa lalu.

Ia turut disertai Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Suruhanjaya Persaingan (MyCC), Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan AMAL by Malaysia Airlines (Amal), Persatuan Syarikat Pengendali Pelancongan Bumitra (Bumitra), Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) dan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh).

Menurut Motac, mesyuarat itu memutuskan harga tiket umrah yang ditawarkan oleh Amal adalah pada kadar harga yang munasabah dan berpatutan.

Motac berkata jumlah tiket yang dijual kepada jemaah Indonesia pula hanyalah 10 peratus daripada jumlah kapasiti yang ada, kata kenyataan itu.

"Manakala, baki 90 peratus adalah ditawarkan kepada jemaah Malaysia yang mana masih mencukupi untuk ditempah oleh agensi pengurusan umrah dan juga rakyat Malaysia," kata kementerian itu lagi.

Namun, kementerian itu berkata pihak Amal tetap diminta untuk meneliti semula keseragaman pembahagian tiket bagi memastikan semua syarikat pengendali umrah tempatan yang dilesenkan mendapat peluang yang lebih terbuka.

Lihat Komen
ADS