Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azalina: Mahkamah Sepanyol tolak rayuan 'waris' Kesultanan Sulu
Diterbitkan:  Feb 2, 2023 6:03 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

Mahkamah Perlembagaan Sepanyol menolak rayuan yang difailkan pihak yang mendakwa diri mereka sebagai pewaris Kesultanan Sulu, terhadap keputusan membatalkan pelantikan Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata kerajaan telah menerima pengesahan rasmi penolakan itu dari mahkamah Sepanyol.

Mahkamah juga mengesahkan pembatalan pelantikan Stampa.

"Mahkamah Persekutuan Sepanyol telah menolak permohonan perlembagaan yang difailkan pihak yang menuntut kerana mereka telah menarik balik tuntutan untuk melantik seorang penimbang tara susulan pembatalan itu, dan akibatnya, telah mengabaikan prosiding yang menjadi asas kepada permohonan mereka.

"Keputusan ini mengesahkan kedudukan undang-undang yang ditegaskan Malaysia sejak pertikaian ini bermula, dan menamatkan strategi penghakiman pihak yang menuntut di Sepanyol," katanya.

Stampa dikatakan kini disiasat oleh pihak pendakwaan Sepanyol atas dakwaan menghina arahan mahkamah di negara itu dan juga Perancis.

Keputusan itu setelah kedudukan Stampa sebagai penimbang tara dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Kehakiman Madrid pada 29 Jun 2021.

Mahkamah tersebut adalah pihak yang mula-mula melantik Stampa pada 2019.

Gonzalo Stampa

Walaupun dengan pembatalan itu, Stampa masih mengeluarkan "anugerah akhir" berjumlah AS$14.92 bilion (kira-kira RM63 bilion) kepada pihak menuntut pada 1 Mac 2022 di mahkamah timbang tara di Paris.

Berbekalkan anugerah itu, pihak menuntut kemudiannya cuba merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus melalui sistem perundangan Luxembourg.

Kedua-dua syarikat itu dikatakan bernilai AS$2 bilion.

Menurut Mahkamah Perlembagaan Sepanyol dan Mahkamah Tinggi Kehakiman Madrid, Stampa tidak pernah memiliki sebarang autoriti perundangan untuk bertindak dalam kapasiti itu mahupun memutuskan sebarang anugerah.

Pada 12 Julai 2022, Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan Malaysia untuk menangguhkan penangguhan anugerah akhir tersebut.

Mahkamah Daerah Luxembourg juga mengetepikan perintah yang membenarkan pihak yang mendakwa diri mereka sebagai waris kesultanan Sulu itu untuk merampas aset Malaysia.

"Keputusan mahkamah Sepanyol ini membuktikan dasar kerajaan untuk mempertahanan negara secara tegas di setiap mahkamah dan forum.

"Serta menggunaan segala kuasa, hak dan sumber (kerajaan) untuk memastikan kepentingan dan kedaulatan negara dilindungi pada setiap masa," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS