SAM nafi hasut penduduk Penan di Long Benalih
Sahabat Alam Malaysia (SAM) menafikan tuduhan bahawa ia menghasut masyarakat Penan mengadakan sekatan di Long Benalih dalam kawasan Sela'an-Limau di hulu Baram, Miri, Sarawak.
Sahabat Alam Malaysia (SAM) menafikan tuduhan bahawa ia menghasut masyarakat Penan mengadakan sekatan di Long Benalih dalam kawasan Sela'an-Limau di hulu Baram, Miri, Sarawak.
Presidennya, S M Mohamed Idris juga berkata, bantuan SAM kepada penduduk terbabit tidak ada kaitan dengan Bruno Manser dan ia tidak hanya membantu masyarakat Penan semata-mata.
SAM membuat penafian tersebut dalam satu kenyataan berhubung tuduhan terhadapnya sejak dua minggu lalu berhubung sekatan di Long Benalih.
Mohamed berkata, jalan yang dicadangkan itu, dibina di rabung gunung antara Sungai Pengaran Iman dan Sungai Benalih.
Kini, katanya, kerja-kerja pembinaannya juga menjejaskan anak Sungai Pengaran, menyebabkan berlaku masalah pencemaran yang teruk yang menjejaskan kehidupan masyarakat Pangaran Iman.
Katanya, SAM hanya menyampaikan aduan masyarakat Penan di Long Benalih dan Pangaran Iman, yang memilih untuk membuat aduan terhadap pencabulan Hak Adat Orang Asal (NCR) di pejabat SAM di Miri.
"Mereka mengulangi bantahan mereka selama ini terhadap pencabulan tanah mereka, melalui sekatan yang diadakan di kawasan yang mereka huni sejak hampir 14 tahun mereka," kata Mohamed.
Aktiviti pembalakan
Beliau menjelaskan, penduduk berkenaan hanya meminta supaya aktiviti pembalakan tidak mencabul kawasan nenek moyang mereka.
"Mereka tidak membantah pembinaan jalan ke Long Lellang, dengan syarat, terdapat perjanjian antara mereka dengan pihak yang membina jalan itu, bahawa laluan itu tidak akan digunakan untuk menjalankan kegiatan pembalakan di kawasan mereka, sepertimana yang disiarkan dalam Utusan Sarawak pada 22 Mac lalu.
Mereka juga, kata Mohamed, mahu kerja-kerja pembinaan jalan tersebut diselia oleh agensi kerajaan yang bertanggungjawab.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa timbul dakwaan bahawa sekatan tersebut telah menghalang laluan, penghantaran bekalan dan bahan perubatan dari Long Lama ke Long Lellang, sehingga menyebabkan harga minyak meningkat.
Persoalannya, kata beliau, bagaimanakah semua bekalan tersebut dihantar ke kawasan tersebut sebelum ini.
"Apa jadi kepada perkhidmatan udara yang digunakan untuk menghantar bekalan ke kawasan pedalaman di Sarawak selama ini?
"Di samping itu, terdapat sekurang-kurangnya dua laluan darat dari Long Lama ke Long Lellang, yang dihubungkan ke Miri sebelum ini," katanya.
Siasatan Suhakam
Sehubungan itu, katanya, adalah tidak benar bahawa kedua-dua laluan Sungai Apoh-Patah-Akah dan Long Bedian-Layun-Tutoh tidak boleh lagi digunakan hari ini sejak syarikat yang membalak di kawasan tersebut telah berpindah ke tempat lain dan tidak lagi menyelenggarakannya.
"Oleh itu, setakat manakah kita boleh memberi kepercayaan kepada syarikat pembalakan membina jalan untuk masyarakat tempatan apabila banyak daripadanya tidak menunjukkan minat untuk menyelenggara jalan-jalan tersebut apabila mereka habis membalak di situ," katanya.
Mohamed berkata, dakwaan MTCC bahawa semua isu-isu relevan dibincangkan dalam sebuah jawatankuasa perhubungan, juga didapati bertentangan dengan hasil siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) seperti laporan media pada 16 Mac lalu.
"Ia termasuk dakwaan penduduk bahawa mereka tidak dibawa berunding, wujudnya perbezaan interpretasi perundangan antara kerajaan negeri dan penduduk dan bagaimana sesetengah dasar mengenai NCR tidak mesra hak asasi manusia.
"Penduduk juga dilaporkan telah memaklumkan kepada Suhakam bahawa majoriti mereka membantah pembalakan dalam kawasan mereka dan malah menyokong sekatan tersebut, dan mereka tidak dihasut oleh badan bukan kerajaan (NGO).
Malah, Suhakam mendapatkan wujud 'jurang' dan 'percanggahan' selepas sesi-sesi dialog dengan Pejabat Residen Miri, syarikat-syarikat terbabit dan penduduk tempatan.

