Penduduk sudah kenal saya, kata calon BN
Calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Lai Meng Chong yakin statusnya sebagai anak tempatan akan memberi kelebihan kepadanya dalam pilihanraya kali ini.
Calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Lai Meng Chong yakin statusnya sebagai anak tempatan akan memberi kelebihan kepadanya dalam pilihanraya kali ini.
Begitu juga, katanya, dengan rekod perkhidmatannya sebagai setiausaha politik Menteri Sumber Manusia dan Naib Presiden MCA, Datuk Dr Fong Chan Onn.
Menurut laporan Bernama, Lai, 56, (kiri) akan berdepan dengan calon DAP, Liou Chen Kuang, 33 tahun. Penamaan calon akan diadakan esok.
Ditemui selepas diumumkan sebagai calon BN, Lai berkata: "Saya kenal penduduk di sini dan mereka telah menerima perkhidmatan saya selama ini.
"Ini termasuk mereka di Machap Umboo, yang juga kenal dengan saya," katanya yang sudah lebih 15 tahun berkhidmat di kawasan itu selaku pembantu Dr Fong.
Dalam pilihanraya kecil kali ini, kawasan Machap Baru dijangka menjadi tumpuan kerana ia mempunyai pengundi paling ramai, iaitu 2,161 orang, berbanding lapan kawasan mengundi yang lain.
Kawasan lain ialah Machap Umbor (1,647), Tebong (1,738), Melaka Pindah (1,388), Felda Hutan Perca (1,159), Solok Menggong (613), Ayer Pasir (459) dan Kemuning (458).
Kerusi Machap kosong berikutan kematian wakil rakyatnya dari BN, Datuk Wira Poh Ah Tiam, 55, pada 15 Mac.
Pengundi Cina
Dalam pilihanraya umum lalu, Liou, 33 tewas kepada Poh yang menang dengan majoriti 4,562 undi
Sementara itu
Bernama
melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika membuat pengumuman itu, berkata Lai dipilih memandangkan beliau mempunyai ciri-ciri yang disenangi oleh penduduk tempatan selain merupakan anak jati yang sudah lama dikenali masyarakat setempat.
"Orang ini (Lai) adalah mesra, dikenali di kawasan ini serta sudah banyak berjasa.
"Lagipun sudah terbukti kebolehannya, disenangi, caranya rendah diri, bersahaja, serta selamba dalam pendekatannya tetapi berkesan dari segi khidmatnya," katanya.
Ditemui pemberita selepas majlis pengumuman itu, Najib berkata beliau yakin BN boleh memenangi pilihanraya kecil itu berdasarkan kepada semangat yang ditunjukkan pengundi di dalam dewan ketika nama Lai diumumkan sebagai calon BN.
Hadirin dalam dewan itu memberikan sorakan gemuruh sejurus nama Lai diumumkan oleh Najib.
"Saya yakin berdasarkan latarbelakang pencapaiannya, calon yang kita pilih memenuhi aspirasi pengundi dan saya yakin kita boleh menang," katanya.
Ditanya kemungkinan BN memperoleh majoriti lebih baik berbanding piliharaya lalu, Najib berkata: "Kita tak ada sasaran tapi tentunya kita mahu majoriti yang lebih baik".
Pemilihan Lai, yang mendapat pendidikan awal di SJK (Cina) Machap Baru dan menetap di kampung baru itu, mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Pengerusi BN.

