Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Waris' lain Sultan Sulu tak setuju bawa kes tuntutan ke mahkamah
Diterbitkan:  Feb 5, 2023 9:51 PM
Dikemaskini: 1:52 PM

Seorang 'waris' kepada kesultanan Sulu mengkritik satu lagi kumpulan 'waris' Sultan Sulu kerana membawa pertikaian mengenai bayaran pajakan untuk Sabah ke mahkamah.

Datu Omar Ali Datu Bachtiya - yang mendakwa sebagai anak kepada sepupu Ombra Amilbangsa - turut mempertikaikan keturunan salah seorang pihak yang membuat tuntuan mahkamah itu.

Ombra Amilbangsa ialah salah seorang daripada empat pemimpin Sulu yang diisytiharkan sebagai sultan pada pertengahan 1930-an. Dia menuntut takhta kerana menjadi suami kepada Dayang Dayang Piandao, anak perempuan Sultan Mohamed Badarud-Din II dan anak saudara kepada Sultan Jamalul Kiram II.

Bernama melaporkan Omar sebagai waris daripada salasilah keturunan Dayang Dayang Piandao.

‘Dayang Dayang Piandao tiada anak’

Bercakap kepada agensi berita nasional itu, Omar membangkitkan dakwaan oleh salah seorang daripada lapan 'waris' Sulu - Taj-Mahal Kiram-Tarsum Nuqui - yang mendakwa dirinya sebagai waris daripada garis salasilah keturunan yang sama.

"Taj-Mahal ialah cucu Tarahata dan bukan Dayang Dayang Piandao. Apabila mereka mengatakan mereka cucu Dayang Dayang Piandao, itu adalah bohong.

"Dayang Dayang Piandao tidak pernah mempunyai anak, jadi bagaimana dia boleh mendapat cucu?" katanya.

Tuntut Putrajaya bayar AS$14.92 bilion

Di sebalik dakwaan Omar itu, bagaimanapun Taj-Mahal mungkin waris sah keturunan Dayang Dayang Piandao.

Laporan oleh media Filipina ABS-CBN pada 2013, menemukan dokumen mahkamah dari 2011 yang mewariskan harta pusaka Dayang Dayang Piandao kepada Dayang-Dayang Putri Taj-Mahal Kiram-Tarsum Nuqui.

Putri berkemungkinan gelaran yang digunakan oleh Taj-Mahal.

Walaupun Omar tidak dilaporkan memperincikan bagaimana tujuh individu lain yang membuat tuntutan itu bukan pewaris sah kesultanan Sulu, dia berkata tindakan undang-undang mereka adalah tidak sah.

“Pada pendapat saya, ia tidak sah kerana kita tahu (fakta tentang waris) bercampur aduk, dan jika kita benar-benar mengkaji (status mereka) diragui maka ini (status) tidak benar bagi saya,” katanya lagi.

Empat daripada pihak yang menuntut, Fuad Kiram, Sheramar T Kiram, Permaisuli Kiram-Guerzon, Jenny KA Sampang, disebut sebagai waris sah dalam artikel ABS-CBN - yang turut menyebut tentang salasilah keturunan mereka.

Pihak yang membuat tuntutan itu meminta AS$14.92 bilion (RM63.34 bilion setakat berita ini ditulis) daripada Putrajaya sebagai tindak balas terhadap Malaysia kerana memotong bayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 untuk Sabah kepada kesultanan Sulu pada 2013.

Pajakan itu berdasarkan perjanjian antara Kesultanan Sulu, dan sebuah syarikat swasta pada tahun 1878, yang kemudiannya diwarisi oleh Malaysia pada tahun 1963.

Pembayaran itu telah dipotong sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Lahad Datu, yang dicetuskan oleh seorang lagi waris Sulu, Sultan Jamalul Kiram III.

Lebih baik bincang

Pihak yang membuat tuntutan itu telah mendapatkan timbang tara berhubung perkara berkenaan di Sepanyol dan pada mulanya menang kes mereka, yang menyebabkan mereka menyita aset Petronas yang didaftarkan di Luxembourg tahun lepas.

Walau bagaimanapun, mereka gagal dalam tuntutan selepas penimbang tara dalam kes tersebut dibatalkan, dengan keputusan berikutnya di Luxembourg yang mengetepikan perintah sita aset Petronas.

Omar berkata adalah lebih baik kesultanan Sulu berunding dengan Putrajaya daripada mengambil tindakan undang-undang.

"Kita boleh berunding... kita cuma mahukan yang terbaik untuk kedua-dua pihak, kita juga mahu bantu membangunkan Sabah.

“Lebih baik kita berbincang dengan kerajaan Malaysia," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS