Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengurangan peruntukan sukarkan bantuan disalur ke pedalaman
Diterbitkan:  Feb 6, 2023 11:37 AM
Dikemaskini: 3:37 AM

Keputusan mengurangkan peruntukan pembangunan untuk ahli parlimen akan menyukarkan penyaluran bantuan dan urus tadbir bagi kawasan pedalaman, kata Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi.

Ahli Parlimen Kapit itu dalam kenyataan berkata pengurangan peruntukan - daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta - akan memberi cabaran yang lebih besar kepadanya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat bagi kawasan yang terletak di pedalaman dan keluasannya menyamai Pahang.

"Sebagai ahli parlimen dan ahli kabinet Kerajaan Perpaduan, saya amat memahami dasar tindakan ini yang terpaksa diambil sebagai langkah penjimatan kewangan negara.

"Meskipun saya merasa sedikit terkilan, namun saya terpaksa menerima ketetapan ini dan berharap peruntukan ini akan dipertingkatkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa," katanya.

Nanta yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata peruntukan sebelum ini membolehkan ahli parlimen membantu penduduk secara lebih cekap dan disalurkan tanpa perlu melalui pelbagai proses di peringkat pejabat daerah atau jabatan kerajaan.

"Tidak terhad kepada penduduk di kawasan pedalaman, peruntukan seumpama ini juga besar manfaatnya kepada penduduk bandar dan pinggir bandar,” katanya.

Jumaat lalu Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan peruntukan pembangunan tahunan kepada ahli parlimen dikurangkan dan akan dilaksanakan secara berperingkat sebagai langkah mengawal aliran kewangan negara.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS