Manfaatkan pemilihan Umno, tak perlu gesa Noraini undur - Khaled
Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin menasihati anggota sayap wanita parti itu supaya memanfaatkan pemilihan parti itu yang akan datang untuk memilih ketua mereka.
Ini selepas terdapat pihak tertentu dalam Wanita Umno dilaporkan menggesa ketua sayap parti itu, Noraini Ahmad supaya tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan akan datang.
“Saya percaya tidak perlu buat gesaan (Noraini berundur) kerana pemilihan akan tiba tidak lama lagi.
"Jika kamu tidak suka kepadanya, jangan undi dia. Apa yang susah sangat," Khaled dipetik sebagai berkata oleh The Star.
Khaled, yang merupakan Menteri Pengajian Tinggi, bercakap kepada pemberita semasa melakukan lawatan ke Universiti Teknologi Malaysia di Johor hari ini.

Dua hari lalu, Ketua Wanita Umno Bahagian Kota Melaka, Haryati Hamdzah dalam satu kenyataan mendakwa ramai ketua bahagian sayap itu mahu bekas Ketua Wanita Umno, Shahrizat Abdul Jalil kembali memimpin mereka.
Susulan itu, sebuah portal berita melaporkan Wanita Umno Titiwangsa didakwa menggesa supaya Noraini meletakkan jawatan.
Bagaimanapun, hal itu dinafikan oleh Ketua Wanita Umno Titiwangsa Mar Dg Matrok, yang mengatakan individu yang mengeluarkan kenyataan tersebut tidak memegang jawatan dalam bahagian itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/65751eb21d48bc72252e5500dd794742.jpg)
