Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Pemimpin k'jaan tak patut lantik ahli keluarga jika dibayar gaji

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ahli politik atau pemimpin kerajaan tidak sepatutnya melantik ahli keluarga mereka ke jawatan tertentu jika melibatkan sebarang imbuhan wang.

Presiden PKR itu sekali lagi mempertahankan pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangannya serta menegaskan anak perempuannya itu tidak menerima sebarang bayaran.

“Mereka tidak sepatutnya melakukan perkara yang sama (melantik ahli keluarga) jika kamu bercakap tentang (menerima) imbuhan.

"Dia (Nurul Izzah) tidak menerima sebarang elaun dan dia mempunyai pengalaman serta kepakaran," kata Anwar ketika ditanya bagaimana dia dapat menghalang pemimpin kerajaan lain daripada melantik ahli keluarga mereka sendiri.

Pelantikan Nurul Izzah itu menyebabkan kerajaan baru-baru ini menerima kritikan berikutan dakwaan melakukan amalan nepotisme.

Selain Nurul Izzah, pelantikan Muhammad Iqbal sebagai pegawai tugas-tugas khas kepada bapanya, Johari Abdul, yang juga speaker Dewan Rakyat, turut menerima kritikan.

Semalam, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata amalan melantik ahli keluarga ke jawatan tertentu dalam kerajaan perlu dielakkan pada masa hadapan.

'Belum ada keputusan terima bekas ahli Umno'

Sementara itu, Anwar berkata PKR akan mengadakan perbincangan dengan Umno sebelum memutuskan sama ada menerima mana-mana bekas ahli parti itu, berikutan pembersihan dalam parti komponen BN itu baru-baru ini.

“Kita mengambil maklum bahawa beberapa bekas ahli Umno telah menyatakan hasrat mereka untuk menyertai (PKR), dan kita akan membincangkan perkara ini dalam masa terdekat dengan pemimpin Umno.

“Belum ada keputusan dibuat,” katanya.

Sebelum ini, bekas ahli parlimen Padang Besar dari Umno, Zahidi Zainul Abidin menyatakan hasrat untuk menyertai PKR, namun langkah itu mencetuskan rasa tidak senang di kalangan pemimpin akar umbi parti itu di Perlis.

Umno memecat Zahidi pada pilihan raya umum ke-15 November lalu selepas dia bertanding di kerusi Padang Besar sebagai calon bebas. Zahidi bagaimanapun tewas dan hilang wang deposit.

Lihat Komen
ADS