Samakan wanita dengan barang: Azman kata cuma kiasan
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim, hari ini mempertahankan kenyataan kontroversi berhubung ciapannya yang dianggap menyamakan wanita dengan barang.
Anggota dewan undangan negeri (Adun) Jabi di Terengganu itu berkata, penggunaan barang dalam ciapannya itu bukan merujuk kepada wanita sebaliknya sekadar kiasan.
Menjawab laporan Malaysiakini mengenai kenyataannya itu, Azman dalam ciapan susulan di Twitter berkata mereka yang mengkritiknya tidak memahami peribahasa, perumpamaan dan analogi.
Dia turut memberikan senarai peribahasa Melayu sebagai contoh untuk menguatkan hujahnya.
"Bagai anjing dengan bayang-bayang maknanya orang yang tamak. Bukan (nak) kata awak anjing.
"Bagai anjing menyalak bukit maknanya kerja yang tak memberi kesan, bukannya kata awak anjing," katanya disusuli beberapa perumpamaan lain.
Terdahulu Azman dikecam kerana menyamakan wanita dengan "barang" dan menilai mereka dengan "murah" atau sebaliknya berdasarkan keadaan ia dijual.
Ada undang-undang, etika
Azman yang juga exco Terengganu berkata sesuatu barang itu akan dianggap bernilai tinggi atau sebaliknya berdasarkan cara ia dibungkus.
Katanya kaedah pembungkusan barang tersebut memainkan peranan dari aspek pemasaran.
Ia sebagai merujuk kes baru-baru ini di mana seorang wanita dilarang memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk membuat laporan mengenai kemalangan jalan raya kerana memakai seluar pendek.
Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman, sebagai tindak balas, menggesa polis supaya tidak bersikap seksis terhadap wanita dan menjalankan tugas mereka tanpa prejudis dan tanpa menilai seseorang dari pakaian mereka.
Sementara itu untuk terus mempertahankan komennya Azman berkata jika seseorang berpakaian terdedah aurat adalah lambang kemajuan dan kemodenan maka ada makhluk Allah lain yang dah lama lebih maju dan moden.
Ciapan itu turut diiringi dengan gambar seekor lembu.
"Isu gini kena katok (kritik) keras sikit. Kereta kemek kemalangan, sapu dengan kertas tisu tak jadi. Ia bukan campur hak peribadi.
"Masa duduk di rumah sendiri itu hak peribadi kita. Bila keluar ke tempat awam, ada hak masyarakat lain yang perlu dihormati.
"Sebab itu negara perlu ada undang-undang dan etika. Ada kesopanan dan kesusilaan," jelasnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/305242e99b23ce0b441c02431112e796.jpg)
