Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Sekretariat kerajaan Anwar tubuh tiga jawatankuasa
Diterbitkan:  Feb 8, 2023 9:31 AM
Dikemaskini: 1:32 AM

Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang bermesyuarat malam tadi  menubuhkan tiga jawatankuasa termasuk Jawatankuasa Pilihan Raya bagi merangka strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata dua lagi jawatankuasa ialah Jawatankuasa Strategi dan Jawatankuasa Pemantauan  Agenda Kerajaan dan Politik.

“Jawatankuasa Pilihan Raya akan menumpukan pilihan raya negeri yang akan diadakan bila-bila masa termasuk hal-hal pembahagian kerusi serta memastikan tapak dan kesepakatan yang kukuh antara parti termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama sekretariat itu di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata Jawatankuasa Pilihan Raya akan bersidang dalam masa terdekat melibatkan pengarah pilihan raya setiap parti.

Beliau berkata di bawah jawatankuasa itu juga akan ada jawatankuasa komunikasi strategik untuk menangani fitnah-fitnah melampau seperti dalam kes pembakaran al-Quran baru-baru ini.

“Dalam fitnah ini ada tokoh-tokoh agama yang kata kita (kerajaan) tidak berbuat apa-apa, sedangkan kita telah membuat kecaman keras, menteri luar juga ada memanggil Duta Sweden dan saya sendiri turut mengumumkan pengedaran sejuta naskah al-Quran,” katanya.

Dalam pada itu Anwar yang juga Presiden PKR berkata Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik akan memberi keutamaan dalam memantau dasar-dasar termasuk melibatkan kos sara hidup rakyat.

Sementara itu,  Anwar yang juga Pengerusi Sekretariat mengumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusoff sebagai Setiausaha Agung Sekretariat, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Ketua Sekretariat manakala ketua-ketua parti di bawah Kerajaan Perpaduan sebagai Timbalan Pengerusi Sekretariat.

“Pengerusi setiap jawatankuasa akan ditentukan kemudian, manakala terma bagi setiap jawatankuasa ialah memastikan setiap dasar-dasar disepakati bersama selain diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri.

“Sekretariat juga akan memberi pandangan tentang dasar Kerajaan Perpaduan dan memastikan semua pandangan diambil kira dalam merumuskan dasar-dasar yang akan dibuat,” katanya.

Beliau berkata  Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan bermesyuarat setiap bulan. 

- Bernama

Lihat Komen
ADS