Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berharap semua penduduk yang terjejas akibat banjir di Pahang dapat pulang ke rumah masing-masing dalam masa terdekat.

Baginda bertitah keadaan cuaca baik sejak semalam juga diharap berterusan dan keadaan banjir dapat pulih sepenuhnya.

"Saya harap cuaca akan bertambah baik mudah-mudahan, saya harap semua (penduduk) yang terpaksa pindah boleh pulang ke rumah semua," titahnya ketika ditemui media selepas melawat pusat pemindahan sementara Sekolah Agama Rakyat Ubudiah, dekat Taman Guru, Kuantan, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Pahang, Dr Sallehuddin Ishak.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa simpati dengan kejadian gempa bumi yang berlaku di Turkiye dan Syria pada Isnin lalu.

Justeru baginda menyeru semua rakyat Malaysia agar dapat bersama-sama mendoakan keselamatan rakyat kedua-dua negara terbabit.

"Sesuatu yang malang bagi rakyat di sana dan saya harap kita sama-sama berdoa, sembahyang hajat agar Allah dapat memberikan sedikit rahmah kepada mereka yang kehilangan nyawa.

"Kita di sini hanya hadapi banjir tahun demi tahun, namun kita harus bersabar dan kita amat sedih (dengan) kejadian di Turkiye dan Syria itu," titahnya lagi.

Gempa bumi pada hari Isnin lalu dengan kekuatan pada 7.8 pada skala Richter dengan kedalaman 18 kilometer setakat ini menyaksikan lebih 7,000 mangsa terkorban.

Beribu-ribu bangunan dilaporkan runtuh di kawasan yang luas dari bandar Syria Aleppo dan Hama ke Diyarbakir Turkiye, lebih 330 kilometer ke timur laut.

Di Turkiye saja pihak berkuasa memberitahu lebih 5,600 bangunan musnah.