Tiga laporan polis dibuat berhubung tiga insiden yang berlaku di luar pusat penamaan calon pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap di Kompleks Japerun, Bukit Bulat, Alor Gajah hari ini.

Dua laporan dibuat terhadap anggota briged MIC kerana didakwa memukul penyokong pembangkang dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang wartawan.

Manakala satu lagi laporan polis dibuat terhadap Ketua Pemuda MIC, S Vigneswaran kerana didakwa mengkasari seorang jurugambar.

Sehubungan itu, polis menahan seorang lelaki untuk siasatan berhubung aduan tersebut.

Kesemua tiga laporan tersebut, yang dibuat di balai polis Machap Umboo. Laporan pertama megenani pergaduhan yang berlaku pagi tadi antara penyokong MIC dengan DAP kira-kira 100 meter dari pusat penamaan calon berkenaan, selepas berlaku satu pertengkaran.

Dalam kejadian tersebut, dua DAP Negri Sembilan, K Kannis, 42, dan S Vijayan, 24, mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka. Kedua-duanya dibawa ke hospital untuk rawatan.

Dalam laporannyam Kannis mendakwa, beliau dan Vijayan telah dipukul oleh anggota briged MIC dengan bata dan kayu bendera MIC pada kira-kira jam 11.45 pagi, selepas selesai proses pencalonan.

Difahamkan, sebelum itu, mereka bersama penyokong pembangkang melaungkan slogan seperti 'Samy Vellu penakut', 'Undurlah, Samy Vellu' sewaktu berlaku 'perang mulut' antara kedua belah pihak di luar pusat penamaan calon tersebut.

Menurut Kannis, sekumpulan lima hingga enam orang, yang memakai baju-T Briged MIC, mendekatinya ketika dia serta beberapa rakannya sedang berjalan ke kereta mereka.

Bercakap kepada pemberita di balai polis, Kannis berkata, salah seorang daripada mereka bertanya mengapa dia marah pada presiden mereka seperti itu dan dia kemudiannya terdengar orang menjerit namanya dan memberitahu supaya memukulnya.

Kannis mengenalpasti tiga individu dua daripadanya turut dinamakan bersama nama cawangan MIC mereka dalam laporan tersebut yang didakwa terbabit dalam kejadian itu. Bukti gambar juga diserahkan kepada polis.

Dalam laporan kedua, wartawan akhbar bahasa Tamil, Malaysian Nanban , R Malini, 30, mendakwa kata-kata kesat dilemparkan terhadapnya oleh seorang ahli briged MIC ketika dia sedang mengambil gambar anggota briged itu selepas insiden tersebut.

Katanya, seorang individu telah berkata kepadanya dalam bahasa Tamil: 'Mengapa awak tidak bogelkan sahaja ibu awak dan ambil gambarnya?"

Malini berkata, dia hanya menjalankan tugasnya dan dia juga telah menerima beberapa panggilan telefon daripada pemimpin MIC, yang memujuknya supaya tidak membuat laporan polis.

Nafi dakwaan

Jurugambar akhbar bahasa Tamil Makkal Osai , P Malayanadi, 49, dalam satu laporan polis berasingan, mendakwa dia telah ditolak oleh ketua Pemuda MIC secara kasar ketika dia sedang mengambil gambar lelaki yang ditahan polis.

Ketua Polis Melaka, Ayub Yaakob, yang tiba di balai polis tersebut kemudiannya, mengesahkan seorang lelaki berusia 28 tahun telah ditahan polis di tempat kejadian dan sedang disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Kita sedang mencari dua orang lagi yang telah dikenalpasti dalam gambar tersebut," katanya.

Dalam reaksinya, Vigneswaran yang juga Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan, menafikan yang belia menggunakan kekerasan terhadap sesiapa.

"Polis sedang menjalankan tugas mereka ketika itu dan tidak membenarkan sesiapa mengambil gambar. Pergaduhan telah berlaku dan orang ini datang (cuba mengambil gambar). Saya tidak boleh membenarkan satu lagi pergaduhan berlaku. Saya tidak menolaknya, saya hanya membawa pergi dari situ," katanya ketika dihubungi malaysiakini.

Mengenai dua lagi laporan poils yang dibuat terhadap anggota pergerakannya, Vigneswaran berkata pihak parti akan menyiasatnya secara terperinci perkara itu dan individu yang terbabit akan dikenakan tindakan.

Ditanya sama ada DAP akan menjadikan insiden tersebut sebagai modal kempen mereka, beliau berkata: "Biarlah polis menyiasatnya. DAP boleh gunakan apa-apa sahaja dan kami tidak peduli."

Sementara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Vigneswaran patut dipecat daripada jawatannya dalam kerajaan, manakala seorang lagi pemimpin parti itu, A Sivanesan menggesa masyarakat India di Machap supaya memikirkan sedalam-dalamnya sebelum mengundi BN, di mana MIC merupakan salah satu parti komponennya. Berita asal