Rayuan NFCorp: Saksi bank tak beri keterangan 'sepenuhnya', kata Shafee
Mahkamah Rayuan diberitahu bahawa saksi dari Public Bank tidak memberikan keterangan "sepenuhnya" ketika pendengaran saman oleh National Feedlot Corporation (NFCorp) terhadap bank itu.
Ketua pasukan pembelaan NFCorp Muhammad Shafee Abdullah hari ini berhujah, ia bagi mengelakkan bank itu daripada terkesan ekoran dakwaan pelanggaran kontrak untuk menjaga kerahsiaan akaun bank syarikat itu.
Dia berkata demikian ketika penghujahan lisan rayuan NFCorp terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan tindakan yang difailkannya terhadap bank itu pada 29 Julai 2019.
Shafee memberitahu panel tiga hakim yang dipengerusikan Azizah Nawawi bahawa saksi-saksi bank tidak menyatakan secara jelas kesan inkuirinya terhadap pegawainya pada masa itu, Johari Mohamad.
Katanya, inkuiri mendapati Johari bertanggungjawb terhadap beberapa dakwaan, antaranya mengakses akaun tanpa kebenaran dan memberikan maklumat berkenaannya kepada Rafizi Ramli.
Rafizi kemudian membangkitkan dakwaan berkaitan apa yang didakwa sebagai penggunaan pinjaman kerajaan kepada NFCorp untuk membeli lapan hartanah di KL Eco City, dalam satu sidang media pada 7 Mac 2012.
Menurut Shafee, saksi-saksi tersebut juga terlibat dalam inkuiri itu, yang akhirnya mendapati Johari bertanggungjawab terhadap dakwaan tersebut.
Johari kemudian meletakkan jawatan.
Shafee mendakwa dalam inkuiri itu, saksi-saksi tersebut memberi keterangan yang menyabitkan Johari namun mereka kemudian tidak berbuat perkara sama ketika pendengaran saman NFCorp di mahkamah.
'Tiada bukti penyebaran maklumat bank'
Namun, peguam Public Bank Yoong Sin Min menyangkal hujah Shafee dan berkata inkuiri yang dijalankan pihak bank hanya mendapati bukti memadai berkenaan dakwaan tindakan mengakses akaun tanpa kebenaran.
Dia berkata inkuiri tidak menemui bukti berkenaan penyebaran maklmat bank kepada pihak ketiga seperti Rafizi.
Dia juga berkata NFCorp tidak boleh bergantung kepada inkuiri bank untuk menguatkan tindakan sivilnya kerana perayu adalah pihak ketiga yang tidak terlibat dalam inkuiri tersebut.

Keterangan saksi bank di mahkamah sebaliknya menunjukkan dokumen yang digunakan Rafizi ketika sidang media pada 2012 bukanlah dokumen bank sama yang dikaitkan dengan insiden akses tanpa maklumat itu, katanya lagi.
"Bank telah meletakkan sistem untuk menghalangnya (akses maklumat akaun tanpa kebenaran), namun tidak dapat menghalang pegawai yang ingkar daripada (melakukan) pelanggaran, maka tidak berlaku pelanggaran kontrak," dakwa Yoong.
Katanya lagi, NFCorp malah tidak pernah memanggil Rafizi atau Johari untuk memberi keterangan dalam samannya.
Katanya, susulan aduan NFCorp kepada Bank Negara, Rafizi dan Johari dibawa ke mahkamah atas dakwaan di bawah Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Bafia) namun mereka kemudian tidak didapati bersalah.
Pada 2019, Pejabat Peguam Negara meanrik balik rayuan mereka terhadap pembebasan Rafizi dan Johari dalam kes itu.
Di akhir prosiding, Azizah memaklumkan panel hakim menangguhkan keputusan mereka, dan akan memberi makluman kepada pihak terlibat bila keputusan akan dibuat.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/10/f45a22540b68f91a10c1ac52d884a58e.jpg)
