Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pandangan Ramasamy tak cerminkan pendirian DAP - Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pandangan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy mengenai dasar dominasi kaum tertentu dalam perkhidmatan awam adalah pandangan peribadi dan bukan mencerminkan pendirian DAP.

Anwar merujuk kepada catatan Facebook pemimpin DAP itu semalam yang mendapat reaksi negatif daripada sebahagian orang ramai.

"Itu pandangan peribadi dia. Kalau perlu timbang, kita timbang. Tapi itu pun bukan pandangan DAP.

"Perkara ini kita tidak buka saluran untuk kita pertimbangkan kerana keadaan sekarang, saya tidak fikir itu satu masalah.

"Tapi kita jangan melarang orang bercakap, memberi pandangan. Boleh (beri pandangan) tapi ia tidak mempengaruhi keputusan DAP dan tidak mempengaruhi keputusan kerajaan," katanya.

Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival kerjaya MyFutureJobs di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Semalam Ramasamy berkata, hujah bahawa penguasaan orang Melayu dalam perkhidmatan awam untuk mengimbangi pengusaan kaum Cina tidak lagi terpakai di bawah pentadbiran kerajaan perpaduan sekarang.

“Tidak masuk akal untuk memastikan perkhidmatan awam kekal sepenuhnya berada di tangan orang Melayu.

"Dasar perkauman seperti itu tidak boleh dipertahankan lagi, tidak apabila kerajaan perpaduan berkuasa," katanya.

Justeru, dia menggesa Anwar menangani isu itu dengan menjadikan perkhidmatan awam mencerminkan komposisi etnik dalam negara.

Kenyataan Ramasamy itu mendapat kecaman meluas termasuk daripada pemimpin kerajaan perpaduan sendiri.

Lihat Komen
ADS