Pemuda PN berkeras mahu penggantungan Hanis dibatalkan
Pemuda Perikatan Nasional (PN) tetap berkeras meminta supaya penggantungan terhadap pemain hoki, Hanis Nadiah Onn dibatalkan.
Dalam satu hantaran di Facebook, Ketua pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkongsi satu artikel di mana jurulatih Hanis, K Rajan mempertahankan pemain hoki negara berusia 27 tahun itu.
Dalam artikel tersebut, Rajan menafikan Hanis merupakan seorang yang bersifat perkauman dan percaya kenyataan dibuat pemain itu merupakan satu kesilapan.
“Pelik. Kawan-kawan yang berbangsa India pun tidak ada masalah. Siapa yang bermasalah sebenarnya ni? Tarik balik penggantungan!” kata Ahmad Fadhli dalam hantaran di Facebook semalam.
Dalam satu hantaran berasingan Ahmad Fadhli mempersoalkan mengapa komen yang dibuat Hanis itu dianggap menghina kaum tertentu sehingga dia digantung daripada mewakili negara.
Sebaliknya Ahmad Fadhli berpendapat Hanis sebenarnya yang menjadi mangsa perkauman dalam isu tersebut.

“Jujur saya ingin bertanya, kenapa ungkapan "..mesti bau dalam tu.." boleh difahami sebagai menghina kaum atau bangsa tertentu?
“Jelas sekali, keputusan menggantung atlet ini sangat keterlaluan! Beliaulah yang sedang menjadi mangsa perkauman,” katanya.
Sebelum ini Ahmad Fadhli berpendapat tindakan terhadap Hanis terlalu keras berbanding kesalahan yang didakwa dilakukannya.
Bagaimanapun, pendirian Ahmad Fadhli itu tidak senada dengan Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu yang menyokong keputusan penggantungan tersebut.
Bekas menteri belia dan sukan itu menyifatkan tindakan KBS terhadap pemain hoki itu tepat pada masanya.
Katanya, ia merupakan satu peringatan kepada semua bahawa sikap perkauman tidak sewajarnya berada dalam masyarakat Malaysia yang berbilang-kaum.
Terdahulu, Hanis didakwa memberikan komen berbaur perkauman berkaitan konsert komposer terkenal AR Rahman di Kuala Lumpur yang dihadiri majoriti kaum India.
Unit Komunikasi Korporat Kementerian Belia dan Sukan berkata, Hanis merosakkan imej pasukan dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), yang jelas melanggar kod etika badan itu.
Dia digantung daripada mewakili pasukan kebangsaan dalam pertandingan antarabangsa termasuk Sukan SEA Kemboja 2023.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/08/56717a2d60dc91717cd208f1742500c7.jpg)
