Labour Law Reform Coalition (LLRC) menyuarakan sokongan penuh terhadap arahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar ejen tidak lagi digunakan untuk mengambil pekerja asing.

Pengerusi bersama LLRC N Gopal Kishnam dan Irene Xavier dalam kenyataan bersama berkata, ini kerana bayaran yang mahal untuk mengambil pekerja asing adalah sama seperti perhambaan moden.

Ia juga memberi kesan kepada ekonomi tempatan serta imej negara di peringkat antarabangsa, kata mereka.

"Malaysia perlu mengambil pengajaran daripada larangan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat terhadap produk sarung tangan getah dan pampasan berjumlah jutaan ringgit yang dibayar kepada pekerja asing kemudiannya.

"Banyak bukti berdokumen menunjukkan pekerja asing terikat dengan hutang, perlu mencagarkan rumah mereka di negara asal atau membuat pinjaman dengan kadar faedah tinggi untuk membayar bayaran yang tinggi sebelum bekerja di Malaysia.

"Ramai yang dalam tekanan untuk bekerja lebih masa secara melampau untuk membayar semula hutang ini," kata mereka, sambil menambah kerja lebih masa itu juga telah menyebabkan banyak kemalangan di tempat kerja.

N Gopal Kishnam dan Irene Xavier

Mereka juga setuju dengan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) bahawa menghentikan penggunaan ejen dapat mengurangkan kos perniagaan dengan drastik.

"Kami menyokong apa-apa usaha untuk menjadikan ekonomi negara lebih berdaya saing.

"Pada masa sama, keuntungan mestilah dikongsi secara saksama antara majikan dan pekerja di Malaysia."

Sebelum ini, Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman dilaporkan berkata langkah menghentikan penggunaan ejen untuk mengambil pekerja asing akan mengurangkan kos pengambilan sebanyak 80 peratus.

Katanya, langkah untuk menamatkan penggunaan orang tengah itu "tepat pada masa", di saat majikan bergelut untuk menguruskan perbelanjaan perniagaan mereka.