Sesiapa sahaja boleh melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya berlaku rasuah dalam mana-mana parti, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Bagaimanapun, Fahmi meminta ahli-ahli Bersatu supaya mengingatkan Presiden mereka, Muhyiddin Yassin agar tidak bersikap bermuka-muka dengan meminta SPRM menyiasat perbelanjaan PH dan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

"Sesiapa boleh lapor kepada SPRM.

“Tetapi, saya ingin mengingatkan ahli-ahli Bersatu bahawa mereka perlu mengingatkan presiden parti mereka supaya tidak bermuka-muka berhubung pendiriannya mengenai SPRM dan pembekuan akaun (parti itu).

"Mungkin peringatan kepada mereka bahawa perlu mengingatkan presiden parti mereka apa itu adil," katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Perayaan Tahun Baru Cina di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, hari ini.

Fahmi merujuk kenyataan yang pernah dikeluarkan Muhyiddin ketika menjadi perdana menteri yang mengatakan SPRM bebas daripada sebarang tekanan politik.

Namun kini, Muhyiddin dilihat mempersoalkan tindakan SPRM membekukan dua akaun parti itu bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Pada 7 Feb lalu, seorang pemimpin Bersatu daripada bahagian Puchong pula membuat laporan SPRM terhadap PH dan BN dengan mendakwa gabungan itu berbelanja mewah ketika pilihan raya umum ke-15 (PRU15) .

Ketua Bersatu Puchong, Mohd Shukor Mustaffa berkata berdasarkan laporan media dan media sosial menunjukkan PH dan BN menggunakan banyak poster dan bendera ketika kempen mereka.

"Anwar Ibrahim juga menggunakan helikopter untuk bergerak sepanjang tempoh kempen," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

PH tidak bincang letak SPRM bawah parlimen

Sementara itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi Digital berkata kerajaan masih tidak mengadakan sebarang perbincangan mengenai cadangan meletakkan SPRM di bawah bidang kuasa Parlimen, seperti yang dijanjikan Pakatan Harapan sejak PRU14.

"Tidak ada sebarang perbincangan. Buat masa ini biar SPRM melakukan tugasnya," katanya.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang meminta perdana menteri Anwar Ibrahim segera menunaikan janji PH itu.

"Saya rasa MP Pasir Gudang adalah seseorang yang secara peribadi saya sangat hormati. Pandangan beliau sudah tentu parti akan mengambil kira.

"Tetapi, (buat masa ini), seperti sedia ada, SPRM harus terus menjalankan tugasnya," katanya.

Hassan baru-baru ini dilaporkan berkata rakyat tidak akan mengambil serius ikrar PH sekiranya kerajaan perpaduan tidak menunaikan janjinya.

Hassan mengingatkan bahawa Anwar sering bercakap mengenai tadbir urus dan tata kelola kerajaan yang baik, serta membanteras rasuah, ketirisan, dan pecah amanah.

"Cakap-cakap itu tidak ada makna jika reformasi tidak dilakukan," katanya.