Titah Agong bukti nyata prestasi cemerlang PN, kata PAS
PAS menganggap titah diraja Yang di-Pertuan Agong di parlimen pagi tadi turut memberi pengiktirafan kepada kejayaan Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata semua pencapaian yang dipetik oleh Agong merupakan pencapaian kerajaan PN sebelum diteruskan oleh Ismail Sabri Yaakob.
Kata Tuan Ibrahim kenyataan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah itu merupakan pengiktirafan kepada PN.
“Data-data yang dikatakan oleh Tuanku (Agong) itu ialah hasil kejayaan-kejayaan kerajaan sebelum ini yang ternyata cemerlang.
“Semua pencapaian yang dibentangkan adalah kejayaan kerajaan terdahulu dan ia bukti nyata sebagaimana yang dinyatakan oleh Tuanku," katanya seperti dipetik portal rasmi PAS, harakahdaily, hari ini.

Pagi tadi Al-Sultan Abdullah menyampaikan titah sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di parlimen dan menyentuh pelbagai isu.
Antaranya Al-Sultan Abdullah menyatakan harapan agar tiada lagi kemelut politik berlaku sepanjang baki tempoh baginda menjadi Agong sehingga 2024.
Sebelum ini krisis menyaksikan pelbagai peristiwa yang tidak pernah berlaku di negara ini termasuk pertukaran perdana menteri sehingga tiga kali dalam tempoh satu penggal kerajaan.
Agong juga berpendapat krisis itu boleh dielakkan jika tidak berlaku pertikaian yang akhirnya membawa kepada peletakan jawatan perdana menteri ketujuh Malaysia, Dr Mahathir Mohamad.
Turut disentuh oleh baginda ialah penghargaan kepada dasar Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh perdana menteri sekarang, Anwar Ibrahim.
Al-Sultan Abdullah turut menyebut mengenai peningkatan 25 peratus eksport negara - bernilai RM1.552 trilion pada Dis 2022 - berbanding 2021.
Menurut baginda, pencapaian itu melepasi sasaran jumlah eksport negara tiga tahun lebih awal daripada yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia ke-12.
Mengenai pencapaian kerajaan semasa, Tuan Ibrahim berkata, "tidak ada apa-apa lagi" yang dilakukan oleh Anwar.
“(Kerajaan PH-BN) yang baru-baru ini baru dua bulan, tak ada apa-apa lagi,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/d5df045624e1021350c227e9d9f079eb.jpg)
