Jambatan P. Pinang ditutup dua jam ekoran panggilan bom
Polis bertindak menutup laluan di Jambatan Pulau Pinang selama lebih dua jam ekoran satu panggilan bom yang diterima petang tadi.
Polis bertindak menutup laluan di Jambatan Pulau Pinang selama lebih dua jam ekoran satu panggilan bom yang diterima petang tadi.
Ia ditutup bagi membolehkan unit pengesan bom membuat pemeriksaan, mengakibatkan berlakunya kesesakan yang teruk di dua laluan jambatan tersebut, demikian menurut laporan Bernama.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Azam Abdul Hamid, polis bertindak menutup jambatan tersebut sejurus selepas menerima panggilan bom itu.
Katanya, ia ditutup mulai jam 4.45 petang bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini terhadap penggunanya.
Hasil pemeriksaan, katanya, polis menemui sebatang paip sepanjang 30.48 sentimeter di Km38 laluan Butterworth menghala ke Pulau Pinang.
Unit pengesan bom kemudian meletupkan batang paip berkenaan di tempat kejadian pada kira-kira 6.30 petang.
Setelah polis memastikan keadaan kembali selamat, jambatan tersebut dibuka semula pada lalulintas pada kira-kira jam 7 malam tadi.

