Kritik Jabatan Imigresen: Aktivis tak jadi didakwa di mahkamah
Aktivis hak pelarian Heidy Quah tidak akan didakwa di mahkamah berhubung kiriman Facebook yang dibuatnya pada 2020 kerana membantah penganiayaan yang didakwa dilakukan terhadap pelarian di pusat tahanan Imigresen.
Quah, yang merupakan pengasas Refuge for the Refugees, dalam satu kenyataan malam ini berkata dia menerima panggilan daripada pegawai penyiasat polis yang mengendalikan kesnya bahawa dia tidak perlu hadir ke mahkamah esok.
“Saya baru mendapat panggilan daripada pegawai penyiasat memaklumkan saya tidak lagi perlu didakwa esok.
“Saya tidak pasti apa yang menyebabkan perubahan fikiran - tekanan oran ramai, surat rayuan kami, atau perubahan pimpinan dalam kerajaan yang telah berusaha keras untuk Malaysia Baru dan mahu melakukan perkara yang betul.
“Bagaimanapun, saya bersyukur, tetapi masih optimistik dengan berhati-hati. Saya harap ini adalah untuk selama-lamanya dan saya tidak lagi didakwa,” katanya.
Kenyataan itu dibuat kira-kira tiga jam selepas Quah membidas kerajaan, yang didakwanya melakukan amalan kerajaan terdahulu dalam menutup mulut pengkritik kerajaan.
Dalam kenyataan sebelum itu, Quah berkata pihak berkuasa sekali lagi mahu mendakwanya di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia.
Pada 2021, dia didakwa atas kesalahan yang sama berhubung catatan Facebook yang sama.
Ia berkaitan artikel yang ditulis Quah, di mana dia berkongsi pengalamannya membantu seorang wanita yang bergelut menjaga bayinya di pusat tahanan Imigresen.
Artikel itu juga mendedahkan keadaan sel tahanan Imigresen yang didakwa mengerikan.
Bagaimanapun, pada 25 April tahun lalu, hakim Mahkamah Sesyen Edwin Paramjothy memerintahkan aktivis itu dilepas tanpa dibebaskan.
Mahkamah mendapati pertuduhan itu tidak mematuhi Seksyen 152 hingga 154 Kanun Tatacara Jenayah yang menetapkan bahawa bentuk pertuduhan, butiran masa, tempat dan orang serta cara melakukan kesalahan mesti dinyatakan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/07/e64c3d8bf95db65935532a577968e269.jpg)
