Selepas 9 bulan, kes kematian Vinosiny masih dalam siasatan polis
Kes kematian S Vinosiny Sivakumar, pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang meninggal dunia di biliknya di kampus universiti itu di Kedah tahun lepas masih dalam siasatan pihak polis.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin dalam jawapan bertulis di parlimen ketika ditanya mengenai kes itu semalam.
"Terlebih dahulu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sekali lagi menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendian Vinosiny Sivakumar.
"Kementerian Pendidikan Tinggi ingin memaklumkan bahawa kes kematian mendiang S Vinosiny masih dalam siasatan pihak polis diraja Malaysia (PDRM).
"Setakat ini pihak kementerian belum dimaklumkan dengan hasil siasatan dan tidak akan mengulas dengan lebih lanjut,' kata Khaled, yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, ketika menjawab soalan V Ganabatirau (DAP-Klang).
Khaled berkata KPT memandang serius isu kebajikan dan keselamatan pelajar, serta telah mengambil beberapa langkah untuk mengelakkan kejadian sama berulang.
Ia termasuk meminta semua universiti awam menilai semula aspek keselamatan dan memperkukuhkan aspek tadbir urus dan penyelenggaraan bangunan agar persekitaran kampus lebih selamat.
Menurut Khaled, kementerian juga mememutuskan agar pelaksanaan audit penyelenggaraan bangunan dan aspek keselamatan pelajar secara berkala dilaksanakan denganlebih kerap, serta laporannya dipanjangkan kepada pihak kementerian.

Vinosiny yang merupakan penuntut semester empat jurusan perakaunan didapati meninggal dunia di bilik hostelnya di kampus UUM di Sintok, Kedah, pada 21 Mei tahun lalu.
Keluarganya mengesyaki pelajar berusia 20 tahun itu terkena renjatan elektrik berdasarkan kecederaan pada badan dan dapatan daripada bedah siasat.
Menurut bapa mangsa R Sivakumar, dia menerima panggilan daripada pengurusan UUM kira-kira jam 3 petang pada hari kejadian, dan diberitahu Vinosiny ditemuidalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam biliknya.
Sivakumar mendakwa pemanggil itu tidak memaklumkan dengan jelas apa yang berlaku, dan dia hanya diberitahu bahawa anak perempuannya telah meninggal dunia selepas bertanya sama ada terdapat tanda-tanda anaknya masih hidup atau sebaliknya.
Sivakumar memberitahu Malaysiakini tahun lalu bahawa mayat anak perempuannya mempunyai kesan terbakar di muka dan tangan kanan, malah dua jarinya bertukar warna ungu kehitaman apabila doktor menunjukkan mayat anaknya di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah.
UUM didakwa gagal bersikap telus mengenai punca kematiannya.
Bagaimanapun, pihak universiti itu memohon maaf kepada keluarga itu pada 31 Mei tahun lalu dan berjanji memberikan kerjasama penuh dengan pihak keluarga untuk mengetahui perkara sebenar.
Keluarga itu juga menggesa pihak berkuasa pada Oktober menubuhkan inkues ke atas kejadian itu, selepas lima bulan menunggu penjelasan mengenai kematian Vinosiny.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/05/89b69f1f2c2600052a0abefddd021591.jpg)
