Pihak polis menafikan bahawa tiada tindakan diambil terhadap kes membabitkan penyeksaan terhadap anak kera ekor panjang seperti dilapor media sebelum ini.

Pihak berkuasa itu memaklumkan kertas siasatan telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dan arahan telah diterima agar rakaman percakapan susulan dijalankan bagi melengkapkan lagi kertas siasatan tersebut.

"Dakwaan bahawa tiada tindakan diambil adalah tidak benar.

"Sesi rakaman percakapan selanjutnya dijadualkan pada 15 Februari 2023. Kertas siasatan seterusnya akan dirujuk semula kepada timbalan pendakwaraya untuk mendapatkan arahan lanjut,” kata ketua komunikasi korporat Bukit Aman dalam satu kenyataan malam tadi.

Justeru pihak polis menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai proses siasatan dan memberi ruang kepada prosedur pendakwaan.

Terdahulu, peguam yang mewakili NGO Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) mendakwa polis gagal bertindak atas laporan yang dibuat mereka bulan lepas.

Pelaku penderaan itu dikatakan merekodkan rakaman mereka menyeksa anak kera ekor panjang dan menjual rakaman itu di sebuah kumpulan Telegram yang dinamakan sebagai 'Monkey Haters'.

Di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015, mereka yang didapati bersalah melakukan kekejaman terhadap haiwan boleh didenda antara RM20,000 dan RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Kera ekor panjang disenaraikan sebagai spesies hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar.

Perbuatan mendera hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta ini boleh dihukum dengan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM50,000, atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.