Belanjawan 2023: Proton harap persekitaran kondusif untuk EV
Belanjawan 2023 harus memberi tumpuan untuk mewujudkan persekitaran kondusif untuk pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd (Proton) Roslan Abdullah berkata ia termasuk usaha menarik minat pengguna untuk beralih kepada EV selain memperkenalkan dasar-dasar mesra pelabur.
Katanya, dasar pelaburan yang baik penting sekali gus mampu membawa teknologi baru masuk ke dalam negara.
“Dengan pengenalan insentif-insentif menarik yang boleh disediakan kerajaan ia akan menarik minat pelabur datang dan mungkin boleh menjadikan negara ini sebuah hub buat EV,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Proton bersama media di Kuching malam tadi.
Belanjawan 2023 akan dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 24 Feb ini.
Sementara itu, Roslan berkata Proton sebagai satu daripada syarikat kenderaan nasional perlu menerajui penggunaan EV, dan sebagai permulaan pihaknya akan bekerjasama dengan Smart Automobile Co Ltd bagi mengedar kenderaan Smart di Malaysia bermula suku keempat tahun ini.
“Selain itu, kami juga menghantar 16 orang jurutera ke Geely untuk tempoh enam bulan bagi mereka mempelajari sendiri teknologi EV.
“Proton juga memang ada perancangan untuk mengeluarkan EV sendiri tetapi model itu akan diumumkan apabila hampir waktu pelancaran,” katanya.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/08/e7c8c6cd7c288d637da8bc097421a822.jpg)
