PM berlepas ke Turkiye beri sokongan moral buat Erdogan
Anwar Ibrahim berlepas ke Turkiye malam tadi bagi menyatakan sokongan moral kepada Presiden Reccep Tayyip Erdogan dan rakyat negara itu yang dilanda gempa bumi awal minggu lepas sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa.
Pesawat khas yang membawa perdana menteri berlepas kira-kira jam 11.15 malam dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.
Sebelum berlepas, penasihat agama kepada perdana menteri Zamri Zainal Abidin membacakan doa bagi memohon keselamatan delegasi Anwar ke Turkiye.
Lawatan sehari Anwar itu turut disertai Menteri Luar Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Amrizan Mohd Ali.
Anwar membuat keputusan untuk mengadakan lawatan mengejut itu atas dasar persahabatan dan permintaan Erdogan yang telah dua kali menghubunginya meminta dia ke Turkiye.
Perdana menteri dijangka tiba di Gaziantep pada jam 7.30 pagi ini (waktu tempatan) untuk meninjau lokasi bencana dan bertemu Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) sebelum berlepas ke Ankara bagi mengadakan pertemuan dengan Erdogan.
Dia dijangka berlepas pulang ke tanah air pada jam 2 petang (waktu tempatan) dan tiba pada 7 pagi Khamis (waktu Malaysia) sebelum menghadiri sidang Dewan Rakyat di Parlimen dan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mesyuarat prakabinet.
Pada 11 Feb lepas, Anwar berhubung dengan Erdogan sejurus tiba dari lawatan rasmi di Bangkok, Thailand bagi menyampaikan ucapan takziah serta doa atas kejadian bencana itu.
Anwar menunjukkan komitmen dan solidariti kepada rakyat negara itu dengan menghantar dua pasukan Smart termasuk dua anjing pengesan (K9) serta membina Hospital Medan Malaysia tahap tiga yang dikendalikan Angkatan Tentera Malaysia.
Selain bantuan tenaga kerja bagi misi mencari dan menyelamat, Malaysia turut menyalurkan bantuan dana kemanusiaan kepada Turkiye dan Syria sebanyak RM20 juta, manakala Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri sehingga kini berjaya mengutip sumbangan mencecah kira-kira RM25 juta.
Pada 6 Feb lepas, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Ritcher telah melanda kawasan selatan Turkiye dan Syria.
Setakat semalam, dilaporkan bilangan kematian mencecah 31,644 orang dan 106,428 lagi cedera manakala di Syria pula, 5,329 orang maut dan 14,500 orang cedera.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/2c409fe268ff3d9cd84982d5198b33ac.jpg)
