'Buli' di sekolah: Lelaki autistik kemuka rayuan
Seorang lelaki mengalami gangguan spektrum autisme (ASD) mengemukakan permohonan di Mahkamah Rayuan dengan mendakwa kerajaan perlu bertanggungjawab atas dakwaan dia tidak mendapat pendidikan yang sesuai ketika bersekolah.
Lelaki berusia 24 tahun itu serta ibu angkatnya memfailkan notis rayuan pada petang semalam berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak tindakan sivil mereka ke atas Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam, guru besarnya Sazali Mohd Karli, Kementerian Pendidikan Malaysia dan kerajaan persekutuan.
Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, peguam Sangeet Kaur Deo mengesahkan mereka telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan itu yang bertarikh pada 3 Feb.
Pada tarikh itu, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Nik Hasmat Nik Mohamad menolak writ saman responden berhubung empat dakwaan gagal menyediakan persekitaran yang selamat dan terjamin untuk lelaki terbabit - yang berusia 17 tahun pada 2016 - sehingga dikatakan menjadi mangsa buli oleh murid berkeperluan khas lain.
Dalam keputusan mahkamah tinggi itu, sambil melahirkan rasa simpati kepada keluarga kerana dia sendiri mempunyai seorang anak perempuan OKU berusia 30 tahun, Nik Hasmat berkata mahkamah masih perlu menolak saman berkenaan kerana kedua-dua plaintif gagal membuktikan kes mereka.
Nik Hasmat menyatakan lelaki terbabit serta ibunya gagal membuktikan empat dakwaan insiden buli yang cuba dikaitkan dengan defendan apabila dia dikatakan gagal menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat dan terjamin.
Insiden pertama melibatkan seorang pelajar yang dikatakan mengikat plaintif ke katil asrama sekolah dan didakwa ditumbuk.
Insiden kedua pula melibatkan pelajar lain yang didakwa menyerang plaintif di sebuah masjid selepas dia dikatakan tidak mengendahkan pelajar yang meludahnya.
Mahkamah juga diberitahu bahawa ada seseorang menarik kerusi dari budak lelaki itu ketika dia sedang solat, menyebabkan dia terjatuh dan mengalami kecederaan di kepala.
Insiden keempat pula didakwa melibatkan perbualan telefon di antara budak lelaki itu dan ibunya dan ada seorang pelajar lain membuat isyarat seolah-olah hendak memukulnya.
Nik Hasmat berkata siasatan polis gagal menunjukkan sebarang bukti tentang dakwaan buli seperti didakwa, selain tiada saksi kepada dakwaan tersebut.
Hakim berkata walaupun terdapat dakwaan buli, lelaki terbabit terus kekal di sekolah itu sehingga tamat pengajiannya di sana.
Nik Hasmat menegaskan bahawa kenyataan ibu plaintif juga terdapat banyak percanggahan ketika perbicaraan di mahkamah.
Hakim membuat kesimpulan tiada kejadian buli berlaku kerana lelaki terbabit kelihatan mempunyai masalah dengan seorang lagi pelajar berkeperluan khas yang didakwa membulinya, mengakibatkan mereka terlibat dalam pergaduhan dan bukannya membuli.
Hakim juga mengarahkan kedua-dua plaintif membayar kos RM10,000 kepada empat defendan.
/file/1147/a42f3ad596e871660a084bada397976f.jpeg)
