Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Orang tak siuman tikam pesakit di hospital
Diterbitkan:  Feb 15, 2023 11:37 AM
Dikemaskini: 4:21 AM

Seorang pesakit yang menunggu rawatan di bahagian kecemasan Hospital Selayang ditikam seorang lagi pesakit yang mengalami masalah psikiatri semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan kejadian itu dan menegaskan penyerang dibawa masuk oleh polis.

“Kejadian tikaman itu dilakukan oleh pesakit psikiatri yang dibawa masuk oleh polis, ia boleh berlaku di mana-mana sahaja.

"Kami perlu melindungi pesakit kami di jabatan kecemasan dan klinik kami. Kami perlu menyemak SOP kami untuk pesakit yang mengalami gangguan psikiatri," tulis Noor Hisham di Twitter.

Noor Hisham mengulas artikel oleh Straits Times Singapura yang pertama kali melaporkan kejadian itu dan mendakwa penyerang menjadi ganas selepas lama menunggu untuk dimasukkan.

Laporan itu mendakwa bahawa semua wad di hospital itu penuh ketika itu manakala ramai yang menunggu giliran di bahagian kecemasan.

Semakan di KKMNow - laman web data terbuka Kementerian Kesihatan - mencadangkan penggunaan katil Hospital Selayang berada pada tahap 69.6 peratus setakat malam tadi.

Hospital Selayang mempunyai jabatan psikiatri dan kesihatan mental.

Menurut Straits Times, mangsa ditikam tiga kali - sekali di bahagian belakang dan dua kali di perut.

Difahamkan, mangsa telah menjalani pembedahan malam tadi dan ketika itu dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata dia telah melawat hospital malam tadi selepas sidang Dewan Rakyat untuk bertemu keluarga mangsa dan pasukan yang merawat mangsa.

"Status terkini pesakit juga akan dilaporkan dari masa ke semasa kepada keluarga.

"Perkara ini sedang dalam siasatan pihak yang berwajib," katanya.

Lihat Komen
ADS