Polis buka kertas siasatan kes tikam di Hospital Selayang
Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes seorang pesakit mental dipercayai menikam seorang pesakit lelaki di Hospital Selayang pada petang semalam.
Pemangku Ketua Polis Selangor S Sasikala Devi berkata seorang saksi melihat mangsa terduduk di lantai di zon kuning hospital berkenaan selepas suspek yang berusia 22 tahun itu menikam pinggang kanan menggunakan pisau.
"Keadaan mangsa stabil setelah menjalani pembedahan. Akibat serangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan pada abdomen kiri dan kanan serta di bahagian belakang badan.
“Satu kertas siasatan dibuka berhubung kes itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan senjata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sasikala Devi berkata suspek telah diberi rawatan dan ditempatkan di Wad Psikiatri Hospital Selayang. Bagaimanapun katanya polis belum mengetahui punca suspek bertindak menyerang mangsa.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/07/9f007bfb46635ebae107a7616e97efaa.jpg)
