Ketua jurulatih akur skuad B-23 tak dihantar ke Sukan Asia
Ketua jurulatih skuad bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, E. Elavarasan menerima apa jua keputusan berhubung skuad itu tidak akan menyertai Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, September ini.
Beliau berkata penjelasan menyeluruh berhubung keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu akan dimaklumkan menerusi satu pertemuan diadakan bersamanya pada minggu hadapan.
"Kita kena tunggu FAM, sebab kita bekerja dengan mereka. Mungkin minggu hadapan kita akan mengetahui mengenai arah tuju kita (skuad).
"Kalau ia datang daripada badan induk jadi kena tunggu dan lihatlah apa yang akan mereka katakan. Macam saya katakan tidak sempat mengadakan pertemuan dengan mereka (FAM) sebelum ini," katanya kepada pemberita pada sesi latihan skuad B-23 di Wisma FAM, di Petaling Jaya, hari ini.
Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata keputusan itu dibuat susulan penganjuran Sukan Asia begitu hampir dengan tarikh pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 yang dijadual berlangsung pada bulan yang sama selain mengambil kira pusingan kelayakan itu lebih penting dalam memburu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Sukan Asia 2022 dijadual berlangsung dari 23 Sept hingga 8 Okt sementara pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 dijangka bermula dari 4 hingga 12 Sept.
Tiga pasukan terbaik dalam pusingan akhir Piala Asia B-23 2024 akan layak ke Sukan Olimpik Paris.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/02/283adc2581a48f186737a6b7386e0cda.jpg)
