Audit: Kerajaan rugi RM13 juta kerana ventilator tak boleh digunakan
Kerajaan mengalami kerugian lebih RM13 juta selepas 108 daripada 136 mesin ventilator baru yang ditempahnya pada 2020 tidak dapat digunakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Perkara itu dinyatakan dalam siri kedua Laporan Ketua Audit Negara 2021, yang dikeluarkan kepada orang ramai hari ini.
Mesin berkenaan ditempah daripada pengilang luar negara melalui syarikat tempatan yang tidak dinamakan, sebagai keperluan tambahan kepada hospital kerajaan semasa pandemik Covid-19.
Selepas menempah 136 ventilator dengan nilai perolehan RM20.1 juta di bawah perolehan darurat, KKM kemudian mendapati ada di antara mesin berkenaan tidak sesuai digunakan, menurut laporan Jabatan Audit Negara (JAN).
Berikutan itu, kerajaan terpaksa membelanjakan RM3.97 juta lagi untuk kerja-kerja menaik taraf oleh syarikat yang sama, menjadikan jumlah kos keseluruhan perolehan ventilator meningkat kepada RM24.07 juta.
Bagaimanapun, di sebalik peningkatan itu, audit JAN ke atas perolehan Covid-19 mendedahkan bahawa hanya 28 ventilator dianggap selamat untuk digunakan pada pesakit.
"Berdasarkan daripada jumlah 108 ventilator tersebut, 15 daripadanya telah dikembalikan kepada pengilang untuk penggantian manakala 93 ventilator tersebut tidak memenuhi ujian spesifikasi teknikal dan ujian prestasi dan kuantitatif (performance and quantitative test).
Menurut JAN, berdasarkan maklum balas KKM, penilaian perolehan ventilator dibuat berdasarkan brosur dan katalog pengilang kerana pada tempoh berkenaan semua sempadan negara ditutup menyebabkan aktiviti perolehan dan pergerakan peralatan perubatan menjadi sangat terhad.
Oleh yang demikian, pengesahan spesfikasi ventilator yang dibeli hanya dapat disahkan apabila peralatan ventilator berkenaan tiba di fasiliti kesihatan.
Menurut laporan JAN, berdasarkan temubual dengan pihak KKM, tuntutan ganti rugi ventilator tidak dapat dilaksanakan kerana tiada sebarang dokumen pelantikan perolehan ventilator antara syarikat yang hanya dinamakan sebagai 260790-T itu dan KKM.
"Semakan Audit mendapati sehingga bulan September 2022 sebanyak 15 daripada 108 ventilator dalam tindakan penggantian oleh pihak pengilang luar negara
"Berdasarkan temu bual dengan pihak KKM, tuntutan ganti rugi ventilator tidak dapat dilaksanakan kerana tiada sebarang dokumen pelantikan perolehan ventilator antara syarikat 260790-T dan KKM dan perolehan berkenaan dibuat berdasarkan tanggungjawab sosial korporat syarikat.
"Berdasarkan perkiraan Audit, anggaran jumlah kerugian terhadap 93 unit ventilator yang tidak dapat digunakan adalah berjumlah RM13.07 juta," menurut laporan itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/05/539a376f6031e9b4316bb83ba83326f4.jpg)
