Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia dijangka menurun kepada kadar 5.6 peratus tahun ini berbading dengan 5.9 peratus tahun lalu, kata Bank Dunia hari ini.

Pada amnya, kata bank tersebut, ia disebabkan oleh kemerosotan dalam permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik dari Amerika Syarikat.

"Prospek untuk 2008 kekal sihat dengan pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus. Dengan sektor luaran tumbuh dengan perlahan, peningkatan dalam pertumbuhan sepatutnya disokong oleh permintaan domestik," kata bank itu lagi.

Angka tersebut terkandung dalam laporan separuh tahunnya "Asia Timur dan Pasifik Terkini" mengenai hal-ehwal kedudukan ekonomi dan sosial di rantau ini, demikian menurut laporan Bernama.

Bank Dunia mengunjurkan perbelanjaan pengguna yang kukuh, dikuatkan dengan kadar inflasi yang rendah, harga komoditi yang tinggi, kadar faedah yang stabil, pasaran ekuiti yang berkembang pesat dan peningkatan upah.

Tekanan inflasi

"Sokongan daripada dasar fiskal yang menjadi sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9), sepatutnya juga membantu mengukuhkan permintaan.

"Dengan tekanan inflasi hasil peningkatan dalam harga minyak dan permintaan luar semakin berkurangan, bank pusat di jangka mempertahankan kadar dasar semalaman pada 3.50 peratus untuk bulan-bulan berikutnya bagi memesatkan lagi permintaan domestik," kata bank itu lagi.

Ia menjangkakan ringgit akan terus menambah nilai berbanding doilar Amerika, mencerminkan doiar yang semakin lemah dan pengekalan lebihan dalam akaun semasa.

Bank itu berkata, rantau ini menikmati lebihan kekayaan, golongan miskin semakin berkurang dan peranan meluas dimainkan di peringkat global setelah satu dekad krisis kewangan berlalu yang memusnahkan sistem kewangan di Asia Timur pada pertengahan 1997.

Berdasarkan laporan itu, pertumbuhan ekonomi sedang membangun Asia Timur dikenali China, Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand, Vietnam, Hong Kong, Korea Selatan, Singapura dan Taiwan mencecah 8.1 peratus pada 2006, pencapaian paling kukuh dalam tempoh 10 tahun sebelum dijangka tumbuh pada kadar perlahan sebanyak 7.3 peratus pada 2007.