Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Dakwaan rasuah tak mengganggu, kita akan hantar satu lagi isyarat dalam PRN'

Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali yakin pendakwaan rasuah melibatkan kepimpinan Bersatu tidak akan mengganggu persiapan pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka berlangsung Jun depan.

Bagi Azmin yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, pendakwaan yang dibuat tersebut jelas merupakan pendakwaan terpilih.

“Kita yakin ini merupakan pertuduhan terpilih dan presiden parti (Muhyiddin Yassin) hari ini menyatakan kalau saudara saudari sedia maklum, kenyataan yang dibuat oleh presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) sebelum ini membuktikan sudah ada perancangan,” dakwanya kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Dia hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur bagi memberi sokongan kepada dua pemimpin Bersatu yang didakwa atas pertuduhan rasuah.

Ketua Penerangan Bersatu yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan didakwa atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Turut diheret ke mahkamah hari ini adalah Adam Radlan yang juga adalah timbalan ketua bahagian Bersatu Segambut, juga atas dua pertuduhan rasuah melibatkan Jana Wibawa.

Bagaimanapun mereka mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Mengulas lanjut, Azmin menyifatkan pendakwaan tersebut jelas mahu melumpuhkan Bersatu dan PN.

Dia berkata ia juga satu lagi bukti ketakutan PH dan Umno terhadap sokongan rakyat kepada PN dalam PRU15 lalu.

“Kita sekali lagi yakin dalam PRN (akan datang) rakyat akan memberikan satu lagi isyarat kepada PH dan Umno kerana mereka tidak menunaikan apa yang dijanjikan dalam pilihan raya yang lalu,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS