Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Papagomo diarah bela diri cederakan Syed Saddiq, hina 'kau bodoh'
Diterbitkan:  Feb 21, 2023 9:03 PM
Dikemaskini: 1:03 PM

Mahkamah Majistret di Kajang hari ini memerintahkan bekas Exco Pemuda Umno, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris membela diri atas pertuduhan mencederakan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, empat tahun lepas.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Wan Muhammad Azri, 40.

“Mahkamah berpendapat pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen terhadap pertuduhan mencederakan Syed Saddiq.

"Oleh itu, mahkamah memerintahkan tertuduh (Wan Muhammad Azri) membela diri atas pertuduhan tersebut,” katanya.

Bekas blogger itu turut diperintahkan membela diri atas pertuduhan pindaan iaitu menyebut perkataan kurang sopan dan menghina Syed Saddiq mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.

Sebelum ini dia didakwa atas pertuduhan mengaibkan kehormatan ahli parlimen tersebut di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, mahkamah hari ini meminda pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen Seksyen 509 Kanun Keseksaan bagi pertuduhan kedua dihadapi tertuduh.

“Oleh itu, mahkamah meminda pertuduhan terhadap tertuduh kepada menyebut perkataan kurang sopan dan menghina iaitu “kau bodoh” terhadap Syed Saddiq di mana keamanan mungkin akan terganggu," kata Muhammad Noor.

Empat hari prosiding bela diri

Apabila pertuduhan pindaan itu dibacakan semula terhadap Wan Muhammad Azri, dia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Mahkamah kemudian menetapkan prosiding membela diri selama empat hari iaitu pada 22 dan 23 Mei serta 12 dan 13 Jun ini.

Sementara itu, peguam Logen Eskander yang mewakili Wan Muhammad Azri berkata pihaknya masih belum memuktamadkan senarai saksi pembelaan yang akan memberi keterangan pada prosiding membela diri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala Logen turut dibantu peguam Nik Saiful Adli Burhan.

Seramai 11 saksi pendakwaan termasuk Syed Saddiq telah memberi keterangan pada perbicaraan bermula 4 Nov 2019.

Wan Muhammad Azri menghadapi pertuduhan menyebut perkataan kurang sopan dan menghina iaitu “kau bodoh” terhadap Syed Saddiq, di mana keamanan mungkin terganggu di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian di Kuala Lumpur pada 11.05 pagi, 16 Feb 2019.

Dia juga turut didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap pengasas parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu di bahagian leher dan bahu, di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS