Seorang lagi pemimpin PAS tampil mempertahankan perarakan sempena program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023, yang didakwa menimbulkan kegusaran di media sosial apabila peserta membawa replika senjata dan perisai zaman pertengahan.

Menurut Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh membawa objek dan senjata seperti itu perkara lazim yang turut dilakukan oleh kaum-kaum lain dalam sesuatu perayaan atau acara tertentu.

Nik Muhammad Zawawi Salleh

“Orang India pun ada perarakan guna senjata sendiri, Cina pun ada. Orang Sabah dan Sarawak pula guna sumpit. Umno pula dengan kerisnya. Itu biasa, jadi tidak perlu mahu besarkan isu ini.

“Memanglah keadaan ini (perarakan PAS) berbeza dengan zaman Nabi dahulu, cuma ia tiada masalah pun.

“Menteri agama kata ia memberi gambaran tidak baik kepada agama dan negara, maaf saya tidak setuju dengan beliau,” katanya yang dipetik oleh akhbar Utusan Malaysia hari ini,

Nik Zawawi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na'im Mokhtar, yang berkata perarakan sambil membawa senjata replika adalah tidak wajar dan boleh menyebabkan salah faham.

Na'im Mokhtar

Katanya, perarakan dengan menggunakan simbol pahlawan Islam dengan senjata beri gambaran tidak baik kepada agama dan negara.

Di tengah-tengah kritikan itu, beberapa pemimpin PN tampil mempertahankan perarakan berkenaan.

Antara mereka adalah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyamakannya dengan opera Cina, yang mana pelakonnya juga membawa pedang dan lembing, dan berkata, perkara seumpama itu tidak sepatutnya dibesar-besarkan.

Selain opera Cina, pemimpin PAS juga membandingkan acara itu dengan cosplay - yang memaparkan watak anime bersenjata - dan perarakan Hari Pahlawan.

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula menyifatkan kritikan terhadap perarakan di Setiu, Terengganu pada 17 Februari lalu sebagai “berlebihan oleh orang bukan Melayu dan bukan Islam.”

Polis telah merakamkan kenyataan beberapa pemimpin dan anggota Pemuda PAS yang menghadiri perarakan dan memiliki replika senjata tersebut.