Tinjauan awam mengenai prestasi menteri yang berkhidmat dalam kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim sedang dijalankan oleh sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) mengadakan tinjauan individu untuk prestasi setiap menteri dalam tempoh 100 hari pertama kerajaan sedia ada.

Perkembangan ini hadir selepas Anwar mengumumkan bahawa semua menteri perlu menyerahkan petunjuk prestasi utama (KPI) kepadanya selepas 100 hari memerintah.

Menurut laman web tinjauan itu, kabinet telah memutuskan pada 18 Jan bahawa semakan prestasi itu harus berdasarkan tiga elemen utama – prestasi kementerian atau agensi, prestasi kepimpinan menteri dari segi kecekapan inisiatif mereka serta persepsi masyarakat terhadap menteri.

"Sehubungan itu, Pejabat Ketua Setiausaha Negara dan Mampu di bawah JPM selaku sekretariat KPI sukacita menjemput orang awam selaku responden untuk memberi maklum balas tinjauan soal selidik ini,” kata kenyataan di laman web agensi itu.

Laman web tinjauan boleh diakses di sini. Responden boleh mengemukakan jawapan kepada sehingga 28 menteri, termasuk Anwar sebagai menteri kewangan.

Tinjauan itu memerlukan responden untuk memasukkan maklumat demografi, seperti kumpulan umur, jantina, bangsa dan tahap pendidikan.

Sementara itu, soalan dalam tinjauan dibahagikan kepada lima kategori iaitu perkara yang berkaitan dengan kepimpinan, integriti, pemikiran strategik, penyelesaian masalah dan komunikasi yang berkesan.

Jawapan adalah berdasarkan skala dari satu hingga 10, dengan satu lemah dan 10 cemerlang.

Terdapat juga bahagian terbuka untuk orang ramai menyatakan pandangan dan pendapat mereka mengenai menteri.

Dalam pentadbiran sebelum ini, perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob juga mempunyai inisiatif yang sama untuk mengkaji semula prestasi menteri dalam 100 hari pertama mereka.

Sebaik 100 hari tamat, Ismail Sabri mengumumkan kabinet mempunyai markah 90 peratus untuk prestasi keseluruhan mereka.

Ketika itu, kenyataan Ismail disambut dengan kritikan oleh orang ramai dan pemerhati politik yang mempersoalkan bagaimana markah itu dikira.