Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk memutuskan sekurang-kurangnya 10,000 permohonan kewarganegaraan menjelang akhir tahun ini.

Sejak memegang jawatan pada awal Disember lalu, Saifuddin berkata dia telah membuat keputusan mengenai 4,294 permohonan kewarganegaraan.

“Saya ingin menyatakan hampir 67 peratus (daripada kes) diluluskan manakala selebihnya telah ditolak.

“Saya telah meluluskan hampir 4,300 kes dan hanya ada baki lebih 5,000 kes, tidak banyak.

"Menjelang akhir tahun, kita boleh mencapai 10,000 kes," katanya semasa ucapan penggulungan kementeriannya di Parlimen hari ini.

Menjelaskan perkara itu, Saifuddin berkata terdapat empat faktor yang menyebabkan permohonan ditolak.

“Dalam memohon kewarganegaraan untuk anak mereka, pemohon belum mendaftarkan perkahwinan mereka.

“Dalam kes kedua, apabila pemohon memohon, mereka tidak mempunyai bukti untuk mengatakan bahawa mereka berada di dalam negara. Mereka berada di tempat lain.

“Ketiga, pemohon tidak mempunyai locus standi untuk membuat permohonan, dan keempat, terdapat unsur keraguan kerana percanggahan fakta,” jelasnya.

Sejak 2013 sehingga 21 Feb tahun ini, KDN telah menerima sebanyak 132,272 permohonan kewarganegaraan.

Mengenai masalah kewarganegaraan di Sarawak, Setiausaha Agung PKR itu berkata Kementerian Dalam Negeri telah menubuhkan pasukan petugas khas dengan kerajaan negeri untuk menangani isu berkaitan individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Pasukan petugas ditugaskan untuk membantu mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri untuk melengkapkan dokumentasi mereka seperti sijil kelahiran mereka.

“Selepas proses itu selesai, kes-kes akan diuruskan di bawah Perkara 15a Perlembagaan Persekutuan.

"Matlamat saya adalah untuk kita menyelesaikan baki 946 kes dalam tempoh kurang enam bulan dari sekarang," kata Saifuddin.

Di bawah Perkara 15a Perlembagaan Persekutuan, kerajaan persekutuan mempunyai kuasa untuk mendaftarkan mana-mana orang di bawah umur 21 tahun sebagai warganegara, dalam keadaan istimewa yang difikirkan sesuai.