Satu demonstrasi secara aman diadakan di perkarangan Masjid Kampung Baru di ibunegara selepas solat Jumaat tengahari tadi sebagai membantah tindakan Gerakan Wilayah Persekutuan meluluskan usul mendesak supaya Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria dipecat.

Dalam konvensyen parti itu Ahad lalu, Pengerusinya, Datuk Dr Tan Kee Kwong dilaporkan berkata usul itu diluluskan ekoran pembabitan Mufti Perak itu dalam penyebaran SMS beberapa bulan lalu, yang mendakwa bekas pelayar negara, Datuk Azhar Mansor telah keluar dari Islam.

Demonstrasi tersebut diketuai oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS, Idris Ahmad dan turut dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nor Mohamad.

Dalam ucapannya, Mohd Nor berkata, umat Islam tidak pernah mencampuri urusan agama Hindu, Kristian dan Buddha atau meminta sami Hindu dan Buddha dipecat.

"Saya sangat dukacita kerana usul yang dibuat oleh Gerakan itu tidak pernah berlaku sebelum ini meskipun semasa negara di jajah British dan Jepun," katanya.

Mohd Nor berkata, tindakan Gerakan itu merupakan satu penghinaan yang sangat besar terhadap umat Islam dan boleh menimbulkan kemarahan mereka.

Selepas itu, Dewan Pemuda PAS (DPP) Wilayah Persekutuan membuat laporan polis berhubung perkara itu di Balai Polis Dang Wangi di ibu negara kira-kira jam 4 petang tadi.

Bidangkuasa Sultan

Laporan tersebut dibuat oleh pemangku Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad mengikut Seksyen 107 Kanun Acara Jenayah, berdasarkan laporan di muka surat 3, akhbar The Star terbitan Isnin lalu.

Dalam laporan polis tersebut, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berpandangan bahawa usul yang diluluskan itu adalah penghinaan terhadap kedudukan agama Islam selaku agama Persekutuan.

"Segala bidang kuasa berkaitan hal-ehwal agama Islam, termasuk pelantikan dan pemecatan Mufti, adalah di bawah Raja-Raja Melayu selaku ketua agama negeri sebagaimana yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

"Gerakan melulus dan menghebahkan usul ini adalah penghinaan kepada Sultan Perak serta jelas cuba mencampuri hal-ehwal agama Islam yang tidak kaitan langsung dengan parti itu," kata laporan tersebut.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Kamaruzaman berkata, sama ada ia resolusi atau tidak, kenyataan Dr Tan itu telah menghina umat Islam.

Oleh itu, pihak polis perlu menyiasat laporan yang dibuat oleh DPP, katanya sebagai menjawab kenyataan Ketua Pemuda Gerakan Wilayah Persekutuan, Ma Woei Chyi yang mengatakan ia bukan resolusi tetapi merupakan salahfaham.