Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata PH mungkin perlu berunding dengan sekutunya dalam kerajaan iaitu BN jika Pejuang ingin menyertai gabungan itu.

"Pertemuan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur baru-baru ini memutuskan supaya PH dan BN fokus kepada perbincangan lanjut tanpa membabitkan kerjasama baru daripada mana-mana gabungan atau parti lain.

“Menerusi pengalaman saya, kita akan menunggu Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir (yang) mungkin mahu meminta mengadakan pertemuan rasmi.

“Selepas itu, PH boleh membuat keputusan atau PH perlu bincangkan dengan BN. Baru kita akan nyatakan sikap kita terhadap permohonan Pejuang,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia semalam.

Salahuddin mengulas laporan mengenai pertemuan pemimpin PH Kedah Mahfuz Omar dengan Mukhriz baru-baru ini, di mana presiden Pejuang itu menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan PH dalam pilihan raya negeri akan datang.

Selain itu Mukhriz turut dilaporkan mengadakan pertemuan dengan pemimpin PAS Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Mahfuz berkata dia telah mencadangkan agar Mukhriz dan Setiausaha Agung Pejuang Amirudin Hamzah mempertimbangkan untuk menyertai Amanah.

"Saya ada cadangkan Mukhriz menyertai Amanah supaya mudah memberi peluang kedua-dua pemimpin itu bertanding pada PRN akan datang.

"Bagaimanapun, mereka belum memutuskan tawaran itu," katanya.

Mukhriz pernah menjadi menteri besar Kedah sebanyak dua kali.

Namun pada PRU lalu, dia hilang deposit di Parlimen Jerlun - kerusi yang dipegangnya selama dua penggal.