Agong, PM zahir takziah pada keluarga pengerusi IKIM
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan yang meninggal dunia hari ini.
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah.
“Ketokohan Allahyarham diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa dan menjadi tokoh ilmuwan yang cukup disegani.
“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai jasa dan bakti Allahyarham serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada negara,” menurut hantaran di Faceboook Istana Negara, hari ini.
Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga beliau sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
Sementara itu Bernama melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan yang meninggal dunia hari ini.
Anwar menyifatkan Allahyarham yang juga bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai tokoh pemikir Islam yang banyak memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.
“...dan tentunya kehilangan ini meninggalkan kesan mendalam kepada sanubari umat.
“Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga serta mendoakan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya menerusi catatan di Facebook, hari ini.
Allahyarham, 80, yang dilantik sebagai Pengerusi IKIM pada 24 Feb 2022, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.27 pagi tadi akibat komplikasi selepas pembedahan.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/cd88016f5cfd536829632fbc20e25ec3.jpg)
