Polis digesa menyiasat segera kejadian menceroboh Masjid Jamek Al-Insaniah Simpang Ampat, Pulau Pinang bagi mengelakan salah faham atau tuduh menuduh kerana ianya membabitkan perbuatan membakar al-Quran.

Gesaan tersebut dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP).

"Ada yang mengatakan ia adalah tindakan pencuri yang marah kerana mendapati tabung masjid telah dikosongkan lebih awal bagi mengelakkan dicuri sekali lagi," Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad.

"Ada juga pihak beranggapan ia satu provokasi dari pihak-pihak yang bencikan Islam kerana kejadian membakar al-Quran dilihat begitu serius seperti satu amaran kepada umat Islam.

"Kumpulan Black Metal juga turut dituduh kerana didapati kumpulan ini didapati masih beroperasi di sekitar negeri Pulau Pinang dan Kedah," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian tersebut, tabung-tabung masjid dilaporkan bersepah, cermin pintu pecah dibaling batu, tujuh helai ayat surah al-Baqarah dibakar.

Masjid tersebut juga dilaporkan hampir-hampir terbakar kerana beberapa bahagian bidai tingkap, permaidani sertai wayar elektrik didapati musnah kerana perbuatan khianat.

Immarahkan masjid

Kamaruzzaman berkata, walau apa juga andaiannya, DPPWP mengesa polis mengambil serius dalam menyiasat perkara ini agar ianya tidak berulang, bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi di seluruh negara.

"DPPWP juga menasihatkan agar jawatankuasa masjid di seluruh negara mengambil pengajaran di sebalik kejadian ini. Masjid dan surau perlulah diimmarahkan secara lebih aktif lagi.

"Kita sedia maklum bahawa masjid adalah 'Rumah Allah' dan kita harus menjaganya secara bersama," katanya.

Menurutnya lagi, tindakan mengunci pintu masjid dan surau selepas solat Isyak tidak menjamin keselamatan premis ini sepenuhnya.

Sebaliknya, kata beliau, pihak jawatankuasa perlu kreatif untuk memastikan masjid dan surau mereka dapat melaksanakan program-program lain, selain daripada bersolat sahaja.

"Di zaman Rasulullah, masjid dijadikan tempat para sahabat berkumpul, melakukan interaksi, beribadat, menimba ilmu, bermesyuarat dan merancang urusan negara.

"Oleh itu, DPPWP melihat fungsi Masjid pada hari ini telah lari daripada amalan kebiasaan Rasulullah. Kita lebih suka menjadikan masjid sebagai tempat untuk bersolat lima waktu sahaja dan lebih malang lagi," katanya.

Kelas tuisyen

DPPWP juga, katanya, mengesa agar fungsi masjid ini diperkemaskan dengan menjadikannya pusat pendidikan masyarakat melalui kuliah dan pengajian al-Quran yang boleh dibuat selepas waktu Isyak.

"Tuisyen-tuisyen juga boleh dibuat di masjid bagi anak-anak kariah. Selain itu, program Qiamullail boleh dilakukan secara kerap bagi memastikan Masjid dapat dihidupkan pada waktu Malam.

"Program-program tradisi seperti bacaan surah Yaasin pada malam Jumaat baik diteruskan dan pada malam-malam lain, kariah juga boleh mengadakan kuliah Maghrib atau program bacaan surah-surah al-Quran yang lain," katanya.

Di samping itu, katanya, program tadarus dan kelas al-Quran juga wajar diadakan setiap hari bagi menghidupkan Masjid yang ada.

"Semoga umat Islam hari sedar betapa besar peranan yang perlu kita main bagi menjaga agama dan amanah yang diberi.

"Masjid yang besar dan gah tidak akan diberkati oleh Allah sekiranya kita tidak menghidupkannya dengan amalan-amalan yang banyak dan bermanfaat. Dan satu pembaziran jika masjid-masjid yang ada tidak digunakan sepenuhnya," tegasnya..