Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cukai pendapatan M40 dikurangkan 2%
Diterbitkan:  Feb 24, 2023 5:35 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

Kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan dua mata peratusan bagi kumpulan berpendapatan sederhana (M40), kata perdana menteri yang juga menteri kewangan Anwar Ibrahim.

Anwar berkata pengurangan cukai tersebut bertujuan membantu M40 dengan kenaikan kos sara hidup selain meningkatkan pendapatan boleh guna mereka.

"Selama ini, golongan B40 sering diberikan pelbagai bentuk bantuan sementara kumpulan pertengahan, M40 menunjukkan kesabaran mereka meski terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang mencengkam.

"Sukacita diumumkan, kerajaan bersetuju menambah pendapatan boleh guna M40 melalui pengurangan kadar cukai pendapatan individu yang memberi lebih manfaat kepada mereka.

"Bermula 2023, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak dua peratus melibatkan banjaran lebih RM35,000 hingga RM100,000.

"Pengurangan ini dijangka dapat memberikan kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dengan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300," kata Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Ia merupakan belanjawan pertama dibentangkan bawah kerajaan perpaduan pimpinan Anwar dengan temanya Membangun Malaysia Madani.

Bawah Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada 7 Okt 2022 oleh kerajaan terdahulu, cukai pendapatan bagi kumpulan pendapatan bercukai antara RM50,001 hingga RM100,000 dikurangkan sebanyak dua peratus untuk tahun taksiran 2023, daripada 13 peratus kepada 11 peratus bagi RM50,001-RM70,000 dan daripada 21 peratus kepada 19 peratus untuk RM70,001 hingga RM100,000.

Bawah pentadbiran bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob, cukai untuk mereka yang berpendapatan antara RM250,001 hingga RM400,000 dinaikkan daripada 24.5 peratus kepada 25 peratus.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga presiden PKR berkata sepertimana yang telah dijelaskan, kerajaan akan mengambil pendekatan yang progresif.

Sementara M40 mendapat manfaat daripada pengurangan kadar cukai, kerajaan akan menaikkan kadar cukai 0.5 peratus untuk golongan berpendapatan tinggi (T20) yang dicadangkan dalam belanjawan sebelum ini.

“Kenaikan ini termasuk ahli Parlimen dan ia melibatkan banjaran lebih 100,000 hingga RM1 juta.

"Namun, kurang daripada 150,000 pembayar cukai akan dikenakan cukai yang lebih tinggi.

"Melalui pendekatan ini, langkah ini melibatkan pengurangan hasil cukai bersih kerajaan sebanyak RM900 juta untuk manfaat rakyat khususnya M40," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS