Kerajaan hari ini mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menyalurkan bantuan khas kewangan Aidilfitri atau bonus sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah.
“Dalam kita melangkah ke bulan Ramadan serta bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam, kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.
“Selain itu, RM350 juga akan disalurkan kepada pesara kerajaan.
“Insya-Allah, bayaran akan dibuat pada bulan April 2023,” kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Anwar, ke arah Malaysia Madani, dia berharap penjawat awam segera membawa perubahan, dan menerapkan pembaharuan dengan matlamat akhir menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara.
Katanya, meskipun kerajaan silih berganti, pemimpin negara kerap bertukar, tetapi penjawat awam sebagai tulang belakang kerajaan mesti setia menggalas amanah negara.