Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik tidak dapat menahan air mata pada hari beliau mengundur diri sebagai presiden parti Gerakan hari ini.

Beliau kelihatan masih bertahan sepanjang menyampaikan ucapan presiden di persidangan Kebangsaan luar biasa untuk menerima usul pengunduran beliau serta usul melantik Timbalannya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, sebagai pemangku presiden.

"Tengok, saya tak menangis pun," katanya selepas selesai membaca teks ucapannya di hadapan hampir 1,800 anggota perwakilan yang membanjiri Dewan Wawasan, Menara PGRM, milik parti itu di Kuala Lumpur.

Namun, tidak lama selepas kembali ke tempat duduknya, Dr Lim yang menyambut hari lahirnya yang ke-68 hari ini, dilihat mengesat air matanya dengan saputangan, demikian menurut laporan Bernama

Di akhir persidangan itu, apabila ditanya pemberita kenapa beliau menangis, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi itu berkata : "Mana ada, orang letih la, mana boleh you cakap saya menangis."

Bagaimanapun, Dr Lim mengakui perasaannya tersentuh ketika

mendengar ucapan wakil Perak yang membahaskan usul berkenaan.

.

"Ada (menangis), saya gembira dia (speaker) minta satu wakil dari Perak

yang telah berjuang dengan saya lebih 35 tahun untuk berucap.

Pemimpin tertinggi kekal

"Tentulah saya ingat balik beberapa tahun kebelakangan ini dalam

perjuangan bersama-sama di dalam Gerakan," katanya.

Sementara itu, kecuali jawatan presiden, kesemua pemimpin tertinggi Gerakan dikekalkan pada jawatan masing-masing.

Dr Koh memberitahu pemberita demikian selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat buat kali pertama sebagai pemangku presiden.

Mesyuarat itu sebulat suara meluluskan usul pengunduran Dr Lim serta menerima Dr Koh, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, sebagai pemangku presiden.

Selain itu, mesyuarat itu turut melantik Dr Lim sebagai penasihat parti, berkuatkuasa hari ini.

Selain Setiausaha Agung, Datuk Seri Chia Kwang Chye, Dr Koh berkata, mesyuarat memutuskan naib presiden Chang Ko Youn sebagai seorang

daripada tiga wakil parti itu ke Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini, wakil Gerakan ke Dewan Tertinggi BN ialah Dr Lim, Dr Koh

dan Chia.