PARLIMEN l Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 tidak membenarkan sukarelawan Rela membawa dan menggunakan senjata api.
Bagaimanapun, sekiranya terdapat keperluan, mereka boleh mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan polis.

Perkara ini dikongsi oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution dalam jawapan bertulis ketika menjawab Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN - Machang), yang ingin tahun mengenai sebab-sebab kelewatan penyerahan semula senjata api anggota Rela.
Wan Ahmad Fayhsal mendakwa ini telah menyebabkan kerugian ratusan ribu ringgit hasil pertanian terutamanya pada musim buah-buahan akibat haiwan perosak yang sukar dibasmi tanpa bantuan anggota Rela bersenjata.
Saifuddin juga menjelaskan bahawa pembasmian musuh tanaman bukannya tugas dan tanggungjawab anggota Rela tetapi oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Anggota Rela boleh membantu mana-mana pasukan atau pihak berkuasa keselamatan yang ditubuhkan di bawah undang-undang bertulis apabila diminta oleh pasukan keselamatan atau pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya.
