‘Majikan ambil buruh asing, buang pekerja tempatan berdepan saman RM50,000’
Menteri Sumber Manusia V Sivakumar memberi amaran kepada mana-mana majikan yang memberhentikan pekerja tempatan selepas mendapat tenaga kerja asing yang diambil melalui pelan kelonggaran kuota.
Dia berkata ini susulan peningkatan aduan mengenai syarikat tempatan yang mendapat kelulusan kuota pekerja asing tetapi kemudiannya memberhentikan pekerja tempatan, dengan kes terbaru melibatkan 102 pekerja di sebuah syarikat di Pulau Pinang.
“Saya ingin memberi peringatan tegas kepada para majikan dan syarikat-syarikat tempatan bahawa kelulusan kuota dan kebenaran penggajian pekerja asing kepada mereka adalah bagi menampung kekurangan guna tenaga dan bukan sesekali dijadikan alasan bagi menggantikan pekerja tempatan sedia ada.
“Saya juga ingin menasihatkan para majikan bahawa setiap kekosongan pekerjaan yang ada di dalam negara ini perlu diberi keutamaan kepada rakyat dan pekerja tempatan,” kata Sivakumar dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut menteri itu, tindakan majikan atau syarikat yang memberhentikan pekerja tempatan dan menggantikan mereka dengan pekerja asing adalah bertentangan dengan Seksyen 60M Akta Kerja 1955.
“Mana-mana majikan atau syarikat yang didapati melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM50 ribu ringgit bagi setiap satu kesalahan dan Kementerian Sumber Manusia juga akan membatalkan kelulusan kuota pekerja asing yang telah diberikan,” katanya.
Sebelum ini kerajaan memberi kelonggaran kepada pengambilan pekerja asing dalam lima sektor kritikal - perladangan, perkilangan, pembinaan, pertanian dan perkhidmatan (restoran) - dari 17 Jan hingga 31 Mac.
Mengikut rancangan itu, majikan dibenarkan untuk mengupah pekerja asing dari 15 negara sumber tanpa melalui prasyarat pekerjaan dan kelayakan kuota.
Kelonggaran prasyarat itu termasuk keperluan supaya majikan mengutamakan pekerja tempatan dan mengiklankan kekosongan yang tersedia di portal kementerian yang dikhususkan.
Sebelum ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dilaporkan menimbulkan kebimbangan yang sama terhadap syarikat -syarikat yang didakwa akan mengetepikan pekerja tempatan dan memilih pekerja migran baru yang akan dibayar gaji lebih rendah, untuk mengurangkan kos operasi keseluruhan mereka.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/dfd0d77d9fcc73dea2e429e46cf1c544.jpg)
