VoteMalaysia dedah jumlah sumbangan, ulangi gesaan tambah baik undi pos
Pergerakan VoteMalaysia - usaha sukarelawan untuk membawa balik undi pos semasa pilihan raya umum (PRU) ke-15 - mendedahkan menerima ratusan ribu ringgit sumbangan dan sokongan lain untuk kempen.
Di sebalik sokongan akar umbi dan pencapaiannya, bagaimanapun, ia mengingatkan bahawa usaha berasaskan sukarelawan itu tidak mampan, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti menambah baik sistem undi pos untuk pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
“Walaupun ia adalah satu pencapaian yang luar biasa untuk menganjurkan kemudahan pengagihan undi pos pada PRU15, VoteMalaysia ingin menekankan bahawa ia tidak sepatutnya jatuh ke bahu rakyat untuk menyelaraskan sistem demokrasi negara.
“Usaha berasaskan sukarelawan tidak mampan, dan tindakan mesti diambil oleh SPR untuk membangunkan sistem undi pos menjadi mekanisme yang lebih mantap dan berkesan […]
“Ini amat penting untuk memastikan demokrasi kekal sebagai proses aktif di Malaysia, dan semua suara kita sebagai rakyat Malaysia didengari – tidak kira di mana kita berada,” kata Undi18, yang telah menubuhkan gabungan VoteMalaysia bersama beberapa kumpulan pelajar.
Ia berkata ia menerima derma RM78,917.03 melalui kempen kutipan dana awam, dan kira-kira RM120,000 sumbangan dalam bentuk barangan seperti sewaan dewan dan tiket penerbangan.
Demi ketelusan dan melahirkan rasa terima kasih atas sokongan itu, ia mendedahkan bahawa ia memperuntukkan RM13,760 untuk membayar elaun sukarelawan dan penyelarasan antara negeri, RM9,334 untuk kos langsung program seperti menjalankan pusat pengasingan dan kos kenderaan, RM5, 139.92 untuk tuntutan perjalanan dan perbelanjaan lain, dan RM2,305 untuk "kos pasca program" untuk menunjukkan penghargaan kepada rakan kongsinya.
Jumlah itu meninggalkan baki RM48,378.11 daripada derma.
“VoteMalaysia berhasrat untuk menggunakan baki dana untuk tindakan lanjut dan advokasi bagi menambah baik mekanisme pengundian di luar negara,” katanya.
Pergerakan VoteMalaysia ditubuhkan pada September tahun lepas sebagai tindak balas kepada kelemahan dalam sistem undi pos SPR semasa PRU 2018 serta PRN Johor tahun lepas, yang menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara tidak dapat mengundi.
Ia berjaya menyampaikan 35,092 undi pos, iaitu 73 peratus daripada semua yang mendaftar untuk mengundi di luar negara semasa pilihan raya November lalu.
Enam negeri dijangka akan mengadakan PRN pertengahan tahun ini, iaitu Kedah, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Enam negeri itu mencapai kata sepakat untuk membubarkan DUN pada separuh kedua Jun, bagi memberi laluan kepada pilihan raya diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.
Bagaimanapun, rancangan itu tetap perlu mendapat persetujuan pemimpin parti politik masing-masing, sebelum dibentangkan untuk dipersetujui oleh menteri besar negeri masing-masing.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/a74a27032def8182f1fd4aa3a80c31b3.jpg)
