Hajiji: Jemaah menteri Sabah bincang RUU antilompat parti
Jemaah Menteri Sabah akan membincangkan isu berkaitan rang undang-undang (RUU) anti lompatparti dan akan menentukan masa sesuai sebelum ia dibawa ke Persidangan Dewan Undang Negeri (DUN).
Ketua Menteri Hajiji Noor, berkata perkara itu perlu bagi membolehkan barisan Kabinet negeri itu menetapkan tarikh RUU itu diusulkan dalam persidangan DUN nanti.
Justeru, beliau menolak dakwaan bahawa kerajaan negeri sengaja melengah-lengahkan pembentangan RUU itu di persidangan DUN.
"Saya akan bawa ke mesyuarat Jemaah Menteri negeri untuk memutuskan bila tarikh kita akan bentangkan ini, sabar...ada sidang (DUN) nanti barulah kita umumkan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.
Hadir sama, Presiden Parti Maju Sabah Yong Teck Lee, Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku Robert Tawik dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Yakub Khan.
Hajiji, yang juga Presiden Gagasan Rakyat, berkata parti itu adalah wadah ‘solidariti suara Sabah’ yang membawa kesatuan masyarakat berbilang kaum yang mendukung agenda ‘Sayangi Sabah’, seiring teras perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu 'Sabah First', 'Sabah Forward', 'Sabah Prosper' dan 'Sabah United'.
Beliau berkata permuafakatan GRS bukan sahaja penting untuk rakyat Sabah tetapi juga amat bermakna dalam membina kesatuan dan kekuatan bagi memastikan kepentingan Sabah terus terbela dalam Persekutuan Malaysia.
Sementara itu, Hajiji berkata, di sebalik kemelut politik di negeri itu, beliau masih didukung oleh sebuah pasukan lebih inklusif serta responsif kepada keutamaan dalam menjayakan halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang akan genap dua tahun pelaksanaannya pada 29 Mac ini.
Katanya, dengan dukungan itu, Sabah telah melakar kejayaan demi kejayaan termasuk peningkatan hasil negeri menghampiri paras RM7 bilion berbanding RM4 bilion ketika SMJ bermula selain merekodkan pelaburan domestik berjumlah RM33.4 bilion.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/a346f7168b3e70e1ffb2a48a1944ed09.jpg)
