Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) meningkat sejak semalam dan kini melibatkan lima negeri.

Menurut laman web Info Bencana, Johor masih terjejas teruk.

Setakat 8.35 pagi hari ini, seramai 31,709 mangsa dipindahkan di negeri ini, meningkat 11.31 peratus berbanding 12 jam lalu.

Kluang masih terjejas teruk diikuti Kota Tinggi, Johor Bahru dan Pontian. Turut terjejas ialah Muar, Mersing, Kulai, Tangkak dan Batu Pahat.

Di Pahang, seramai 1,935 mangsa banjir dipindahkan ke PPS setakat 7.47 pagi tadi, kebanyakannya dari daerah Rompin dan Maran.

Kawasan lain yang terjejas ialah Pekan, Jerantut, Raub dan Bera.

Di Negeri Sembilan, seramai 1,066 mangsa dipindahkan dan kebanyakannya dari daerah Tampin.

Selain itu daerah Jempol turut terjejas akibat banjir.

Bagaimanapun semalam menyaksikan PPS di Kuala Pilah ditutup selepas banjir surut.

Di Melaka, seramai 98 mangsa dipindahkan setakat 8.06 pagi tadi, kebanyakannya di daerah Jasin.

Sementara itu, keadaan banjir di Sarawak kelihatan semakin reda apabila hanya 43 mangsa dipindahkan ke PPS setakat 10.40 malam tadi.