Kim Kardashian dapat AS$250,000 berjudi dengan Jho Low
Personaliti berpengaruh, Kim Kardashian, memberitahu penyiasat AS bahawa dia pernah bermain judi bakarat dengan wang yang diberikan oleh Jho Low dan mendapat laba bernilai kira-kira AS$250,000 (RM1,119,250).
Kim juga mendedahkan kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS yang dia pernah berjudi dengan ahli perniagaan buruan polis berkenaan sebanyak dua kali.
Pada sesi perjudian pertama, ia dimulakan dengan makan malam dan berhibur di kelab.
Dakwa personaliti sosial berusia 42 tahun itu lagi, 'rombongan'Jho Low turut disertai anak Rosmah Mansor, Riza Aziz; dan penerbit filem Wolf Of Wall Street, Joey McFarland.
Pada jam 3 pagi, kata Kim, kumpulan itu berada di sebuah bilik peribadi di kasino untuk bermain bakarat.
"Kim tidak mempercayai lelaki Asia yang bersama Jho Low dan bercakap bahasa Inggeris, dan mereka akan sentiasa menjerit 'Monkey' apabila bernasib baik semasa bermain bakarat.
"Kim menganggap Reza Aziz dan McFarland turut berada di sana bersama seorang lelaki tua Asia," kata dokumen siasatan FBI.
Ia merupakan ringkasan temu bual pihak berkuasa AS terbabit dengan Kim. Ia dikemukakan oleh pendakwa raya yang sedang bersiap-siap untuk perbicaraan ke atas kumpulan muzik Fugees, Prakazrel "Pras" Michél.
Michél dituduh melakukan pengubahan wang haram dan melobi bagi pihak Jho Low dan kerajaan China.
Dokumen FBI berkenaan didedahkan oleh Bloomberg Businessweek.
Wang dalam plastik sampah
Kim memberitahu penyiasat yang dia mahu meninggalkan kasino berkenaan pada jam 5 pagi tetapi dinasihatkan agar kekal berada si situ kerana kebiasaan Jho Low yang akan mengedarkan cip perjudian pada penghujung malam.
Akhirnya, Kim memenangi kira-kira AS$350,000 (RM1,567,475) namun pengawal keselamatannya memberikan nasihat agar dia memulangkan wang berkenaan kerana dia tidak berjudi dengan wang sendiri.
"Apabila Kim cuba memberikan kembali cip itu, Jho Low memberitahu Kim bahawa cip itu adalah miliknya untuk disimpan," kata FBI.
Apabila Kardashian menukarkan cip itu dengan wang, dia diberi kira-kira AS$250,000 dalam bentuk wang kertas AS$100 dan diisi dalam beg sampah.
Akhirnya, Kim meminta surat daripada Jho Low untuk membuktikan bahawa wang yang diterimanya adalah hadiah.
Kim menerima baki kira-kira AS$100,000 lagi semasa dia hadir dalam sesi berjudi kali kedua dengan Jho Low. Wang tersebut turut diisi dalam beg sampah.
Semasa sesi perjudian kedua, Kim memberitahu penyiasat yang dia terdengar Jho Low, Riza dan McFarland bercakap tentang rancangan merema terbabit dalam pembikinan filem.
Apabila berkahwin dengan Krish Humphries pada 2011, Kim memberitahu FBI, dia menjemput Jho Low dan ahli perniagaan terbabit meminta agar diberikan meja sendiri untuk dia dan pasangannya, Riza dan penemannya serta individu ketiga yang namanya disunting oleh FBI dalam dokumen tersebut.
Asalnya, kata Kim, Jho Low ingin menghadiahkan kereta kuda kepadanya namun personaliti terbabit meminta Ferrari putih.
Untuk permintaan Kim itu, Jho Low didakwa menjawab: "OK, saya akan hantar wang tunai kepada kamu".
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/b2d52532c470937987b5119ab43c5ecc.jpg)
